Amisah Yassin
KOTA KINABALU: Industri kreatif di Sabah yang memang terkenal dengan kekayaan budaya dan bakat kreatif yang luar biasa masih belum mencapai potensi sepenuhnya.
ADUN Dilantik, Datuk Amisah Yassin berkata, Sabah mempunyai sumber daya manusia yang berbakat, namun industri ini masih kekurangan dasar dan ekosistem sokongan yang tersusun.
Beliau berkata, Sabah memerlukan satu badan sebagai payung yang khusus untuk mengurus dan menyokong pembangunan industri kreatif seperti yang dilakukan oleh Lembaga Pelancongan Sabah untuk sektor pelancongan.
“Rakyat Sabah, khususnya golongan muda yang berbakat dalam seni persembahan, media kreatif, dan warisan budaya, memerlukan platform yang lebih baik untuk mempamerkan bakat mereka.
“Kekurangan peluang untuk mempamerkan bakat ini menyebabkan berlaku aliran keluar bakat ke Semenanjung Malaysia dan negara- negara lain,” katanya semasa membahas Belanjawan 2025 Sabah pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah di sini kelmarin.
Amisah turut menyarankan bahawa Kerajaan Negeri perlu mengambil langkah proaktif untuk membangunkan dasar, yang menyokong industri kreatif di Sabah.
Katanya, ini termasuk memperkenalkan program pendidikan, latihan kursus dalam bidang kreatif, menyediakan dana, insentif kepada usahawan kreatif, serta memastikan perlindungan hak harta intelek untuk produk kreatif.
Beliau menyeru Kerajaan Negeri, Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Kementerian Belia dan Sukan dan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi serta agensi-agensi di bawah kementerian ini, agar memberi perhatian serius terhadap pembangunan industri kreatif di Sabah.
Beliau turut menyentuh perumahan rakyat merupakan satu isu besar, dalam kalangan rakyat khususnya, generasi muda yang pada masa kini, terbeban dengan sara hidup yang tinggi, menyebabkan kemampuan untuk membeli rumah semakin terhad.
Beliau berharap 5,000 unit rumah mampu milik di bawah Skim Program Perumahan Rakyat (PPR) di Sabah yang diumumkan oleh Ketua Menteri baru-baru ini mampu memenuhi keperluan rumah dalam kalangan masyarakat, khususnya mereka dari kumpulan B40.
“Saya ingin menyentuh mengenai isu agihan Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) yang kini telah ditukar dan dikenali sebagai Program Perumahan Rakyat Sejahtera (PPRS). Suatu perkara yang perlu dikaji semula, ialah mengenai kaedah agihan rumah berkenaan, yang tidak sewajarnya bersandarkan kepada nama yang tersenarai di dalam sistem e-Kasih,” katanya.
Menurut Amisah, hal ini berbangkit apabila didapati sebilangan rakyat yang tersenarai dalam sistem berkenaan bukan merupakan golongan yang benar-benar memerlukan rumah kediaman.
Katanya, mereka ini telahpun memiliki rumah atau tempat tinggal sendiri, cuma masih tersenarai sebagai golongan miskin yang masih perlu diberi bantuan dan sokongan.
Amisah turut menyuarakan isu perumahan Kampung Sembulan. Beliau berkata, dalam usaha Kerajaan mewujudkan Kampung Sembulan yang berwajah baharu, hak pemilikan tanah perlu diberi perhatian dan keutamaan.
“Kita tidak mahu Kampung Sembulan ini hilang daripada peta Kota Kinabalu. Projek Pembangunan Kampung Melayu Bumiputera Sembulan, dan amat mengharapkan agar projek ini mampu menjadi Kampung Melayu/Bumiputera Moden pertama di Sabah,” ujar Amisah.
































