Pemain skuad Harimau Malaya sempat menjalani latihan di Bangkok, kelmarin sebelum berlepas ke Hyderabad, India untuk aksi persahabatan dengan pasukan kebangsaan negara itu. – Ihsan FAM
PETALING JAYA: Harimau Malaya akan berdepan dengan India dalam aksi persahabatan antarabangsa Tier 1 esok dengan skuad yang ‘agak’ tempang tanpa khidmat Arif Aiman Hanapi, Matthew Davies dan Feroz Baharudin.
Menurut Utusan Malaysia, ini selepas ketiga-tiga pemain berkenaan telah pulang ke tanah air berikutan permohonan daripada kelab mereka, Johor Darul Tak’zim (JDT) yang mahu membuat persiapan menjelang aksi Piala Malaysia.
“Daripada 26 pemain yang bersama skuad Harimau Malaya ke Bangkok, Thailand bagi perlawanan antarabangsa Tier 1 pertama menentang Laos, Khamis lalu, hanya 23 pemain yang akan dibawa ke Hyderabad, India bagi Tier 2 bertemu India pada Isnin ini (esok).
“Ini kerana tiga pemain iaitu Matthew Davies, Feroz Baharudin dan Arif Aiman Hanapi telah pun dilepaskan berikutan permohonan daripada kelab mereka, JDT.
“Ia susulan jadual dikeluarkan Liga Bolasepak Malaysia (MFL) yang menetapkan perlawanan pertama Pusingan 16, Unifi Piala Malaysia 2024-2025 bagi aksi JDT bertemu Kuala Lumpur Rovers FC pada Rabu ini (20 November 2024).
“Permohonan dibuat JDT itu selepas mengambil kira skuad Harimau Malaya akan tiba di tanah air pada pagi Rabu selepas aksi menentang India, sekali gus tidak sempat bagi ketiga-tiga pemain berkenaan pulang ke pangkuan kelab mereka itu,” kata Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).
Bagaimanapun kata badan induk bola sepak negara itu, seorang lagi pemain JDT iaitu penjaga gol, Ahmad Syihan Hazmi Mohamed akan menyertai skuad 23 pemain Harimau Malaya untuk ke Hyderabad dari Bangkok.
Situasi berkenaan turut menimbulkan perdebatan dalam kalangan peminat di media sosial yang mempersoalkan komitmen pemain kepada skuad kebangsaan berbanding kelab yang diwakili.
Selain itu ada juga peminat yang menyalahkan MFL kerana gagal mengaturkan jadual perlawanan sehingga menyebabkan skuad kebangsaan dan juga kelab terpaksa ‘berebut’ pemain ketika saat genting.
Pertembungan dengan India di Stadium Gachibowli, Hyderabad esok sangat penting untuk Harimau Malaya memperbaiki kedudukan ranking bagi membolehkan berada di kedudukan terbaik menjelang undian kelayakan Piala Asia 2027.
Kali terakhir Malaysia bertemu India adalah pada 13 Oktober 2023 dalam perlawanan Pestabola Merdeka 2023 dengan skuad Harimau Malaya yang dibimbing Kim Pan Gon ketika itu mencatat kemenangan 4-2 di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ).
Malaysia sebelum ini juga pernah bertandang ke India untuk dua siri perlawanan persahabatan pada 2011 yang menyaksikan skuad Harimau Malaya bimbingan Datuk K. Rajagobal ketika itu seri 1-1 pada aksi pertama di Guwahati dan tewas 3-2 pada aksi kedua di Kolkata.
































