GEORGE TOWN : Polis menahan seorang penjaja di sebuah pasar di Jalan Sultan Azlan Shah di sini kerana disyaki memiliki sepucuk pistol dan revolver.
Menurut Utusan Malaysia, Pemangku Ketua Polis Daerah Timur Laut, Superintenden Lee Swee Sake berkata, lelaki warga tempatan berumur 48 tahun itu ditahan kira-kira pukul 9 pagi, Ahad.
“Hasil soal siasat yang dijalankan, suspek mengaku telah menyimpan senjata api di dalam but keretanya yang diletakkan di kawasan Paya Terubong, Ayer Itam.
“Pemeriksaan di dalam but kereta tersebut kemudiannya telah menjumpai sepucuk pistol, sepucuk revolver dan lapan butir peluru,” katanya di sini, kelmarin.
Menurut Swee Sake, kes disiasat di bawah Seksyen 7 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971.
“Suspek telah dibenarkan untuk direman selama tujuh hari bermula hari ini (kelmarin) untuk siasatan lanjut,” katanya.

































