Pemain hoki wanita negara mempertahankan pintu gol ketika India melakukan pukulan sudut penalti dalam kempen kejohanan Trofi Juara-Juara Asia (ACT) di Stadium Hoki Rajgir, India kelmarin. – Ihsan AHF
PETALING JAYA: Skuad hoki wanita negara memulakan kempen kejohanan Trofi Juara-Juara Asia (ACT) dengan langkah kiri apabila kalah 4-0 kepada India di Stadium Hoki Rajgir, India, semalam.
Menurut Utusan Malaysia, tuan rumah yang turun selaku juara bertahan, tidak menunggu lama untuk berada di depan selepas Sangita Kumari menjaringkan gol pada minit kelapan menerusi pukulan sudut penalti.
Bersambung suku ketiga menyaksikan tuan rumah semakin ghairah menggandakan jaringan apabila Preeti Dubey dan Udita masing-masing menjaringkan gol pada minit ke-43 dan minit ke-44.
Skuad kendalian Harendra Singh itu memperoleh gol keempat selepas Sangita menjaringkan gol kedua peribadinya pada minit ke-55.
Skuad kendalian Nasihin Nubli akan bertemu China pada aksi kedua kejohanan di venue yang sama, hari ini.
Terdahulu, China membelasah Thailand 15-0 dalam satu lagi aksi kejohanan.
































