Gambar Hiasan
PETALING JAYA: Penganalisis ekonomi mengunjurkan sentimen pasaran negatif dalam masa terdekat dengan ringgit berlegar sekitar RM4.35 hingga RM4.40 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada minggu ini, susulan keputusan pilihan raya Presiden AS.
Menurut Utusan Malaysia, pada pukul 9 pagi semalam, mata wang tempatan jatuh ke paras 4.3580/3640 berbanding dolar AS daripada 4.3400/3520 pada 5 petang kelmarin sebelum terus menjunam kepada 4.3990/4060 semasa sesi dagangan akhir.
Bagaimanapun, Bursa Malaysia pula mengakhiri dagangan lebih tinggi apabila meningkat 13.47 mata kepada 1,634.17 daripada 1,620.70 semasa ditutup pada Selasa.
Profesor di Fakulti Ekonomi dan Mualamat Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Prof. Datuk Dr. Mustafa Mohd. Hanefah berkata, prestasi ringgit dijangka berada pada paras RM4.35 hingga RM4.40 berikutan kedudukan pasaran bergantung kepada pilihan raya Presiden AS.
“Bagaimanapun, sekiranya, bekas Presiden AS, Donald Trump menang pada pilihan raya ini, ia akan memberi kesan negatif ke atas ringgit dan bursa saham.
“Namun, Trump akan menaikkan tarif ke atas barangan China. Ini akan beri kesan positif untuk Malaysia,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Jelas beliau, kadar faedah AS dijangka tidak akan diturunkan lagi tahun ini sekiranya Trump menang pilihan raya ini.
Tambahnya, mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) oleh Rizab Persekutuan (Fed) juga akan mempengaruhi pergerakan ringgit dalam tempoh ini,” katanya.
Mengulas mengenai pergerakan Bursa Malaysia, beliau berkata, pasaran saham tempatan dijangka berlegar sekitar 1,625 hingga 1,630 pada minggu ini dan minggu depan.
Sementara itu, Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Mohd Afzanizam Abdul Rashid menjangkakan sentimen pasaran yang agak negatif dalam masa tempoh terdekat yang akan mempengaruhi kedudukan mata wang negara.
Beliau mengunjurkan ringgit akan berada pada paras RM4.40 hingga RM4.45 dalam tempoh terdekat.
“Sentimen pasaran agak negatif dan nilai dolar AS dilihat meningkat berikutan keputusan tidak rasmi menunjukkan Trump mendahului Kamala Harris.
“Dasar Trump yg bersifat protectionist (fahaman perlindungan) dan pemimpin populis, maka kadar inflasi dijangka meningkat pada tahun hadapan,” katanya.
































