Rakyat Malaysia disaran sentiasa berjaga-jaga sementara pihak berkuasa terus memantau perkembangan kes baharu. – Gambar Hiasan
PETALING JAYA: Risiko penularan varian baharu cacar monyet atau Mpox seperti yang dikesan di Britain masih rendah, namun rakyat Malaysia disarankan sentiasa berjaga-jaga sementara pihak berkuasa terus memantau perkembangan kes baharu.
Menurut Utusan Malaysia, bekas Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Dr. Lee Boon Chye berkata, semua virus termasuk Mpox boleh mengalami mutasi dan varian baharu akan muncul pada bila-bila masa.
Kata beliau, sekiranya varian baharu di Britain itu kadar jangkitan dan patogennya tidak bertambah teruk, masyarakat tidak perlu menekan ‘butang panik’.
“Mpox adalah penyakit yang berjangkit melalui sentuhan langsung dengan pesakit yang mempunyai gejala. Oleh sebab itu, tidak mudah untuk Mpox merebak seperti Covid-19.
“Namun, masyarakat disarankan mematuhi garis paduan berkaitan Mpox yang disediakan sejak awal 2023 oleh Kementerian Kesihatan (KKM),” katanya kepada Utusan Malaysia.
Terdahulu, akhbar melaporkan Agensi Keselamatan Kesihatan United Kingdom (UKHSA) mengesan kes pertama varian baharu Mpox, clade Ib melibatkan seorang pesakit yang mengunjungi Afrika.
Dalam pada itu, Pakar Kesihatan Komuniti Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Dr. Sharifa Ezat Wan Puteh berkata, wabak Mpox akan memberi kesan kepada individu yang tidak mempunyai sejarah perjalanan ke negara berisiko.
Menurutnya, ia ditularkan dalam rangkaian seksual yang dikenali dalam kalangan lelaki gay, biseksual atau yang melakukan hubungan seks dengan lelaki (GBMSM).
“Malaysia sudah menjalankan aktiviti pengawasan dan melihat perkembangan Mpox ini di dalam dan luar negara.
“Buat masa ini tindakan baharu tidak perlu, hanya perlu lakukan pengawasan yang sama sehingga kes-kes baharu dilaporkan,” ujarnya.


































