Keadaan kemalangan yang menyebabkan seorang penunggang basikal elektrik maut di Kilometer Lima, Jalan Bahau Kemayan, Jempol, petang semalam.
JEMPOL: Seorang penunggang basikal elektrik maut selepas dilanggar kereta dalam nahas yang berlaku di Kilometer Lima, Jalan Bahau Kemayan, di sini, petang semalam.
Menurut Utusan Malaysia, Ketua Polis Daerah Jempol, Superintenden Hoo Chang Hook berkata, kejadian kira-kira pukul 5.50 petang itu melibatkan sebuah kereta dan sebuah basikal elektrik.
Menurutnya, kejadian dipercayai berlaku semasa kereta yang dipandu seorang wanita berusia 55 tahun dalam perjalanan dari Bahau menghala pulang ke rumah di Ladang Gaddes.
“Setiba di lokasi kejadian, semasa kereta hendak bergerak di laluannya, tiba-tiba datang sebuah basikal elektrik yang ditunggang oleh seorang lelaki berusia 85 tahun dari arah kiri di hadapan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bahau 2 hendak melintas jalan ke kanan.
“Penunggang basikal elektrik mahu ke Taman Sri Mahsan lalu berlaku pelanggaran di bahagian sisi kanan basikal tersebut di laluan utama kereta yang sah.
“Akibat daripada kemalangan tersebut, penunggang basikal elektrik meninggal dunia di tempat kejadian akibat mengalami kecederaan parah di kepala dan muka,” katanya kepada pemberita, di sini, hari ini.
Sehubungan itu, polis meminta agar saksi kejadian berkenaan supaya menghubungi Pegawai Penyiasat Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jempol, Inspektor Yasmin Beevee Mohamed Ali di nombor 012-9434222 bagi membantu siasatan.