Pelaksanaan Skim Pembiayaan Kesihatan Nasional akan membolehkan subsidi kesihatan difokuskan kepada memberi rawatan terbaik kepada golongan berpendapatan rendah.
PETALING JAYA: Kerajaan perlu mempertimbangkan pelaksanaan Skim Pembiayaan Kesihatan Nasional yang berasaskan insurans kesihatan sosial sebagai langkah untuk memastikan pembiayaan kesihatan yang lebih adil dan mampan.
Menurut Utusan Malaysia, skim ini melibatkan sumbangan daripada golongan berkemampuan serta majikan dengan caruman dibuat berdasarkan pendapatan masing-masing, manakala golongan kurang berkemampuan tidak perlu menanggung sebarang bayaran.
Pakar Ekonomi, Polisi dan Pengurusan Kesihatan, Prof. Datuk Dr. Syed Mohamed Aljunid Syed Junid berkata, skim ini bagi memastikan keadilan dalam pembiayaan kesihatan yang mana beban kewangan diagihkan mengikut kemampuan individu bukan secara menyeluruh.
BERJAYA
Menurut beliau, pelaksanaan skim ini bukanlah perkara baharu kerana banyak negara berjaya menggunakan sistem insurans kesihatan sosial.
“Negara-negara seperti Indonesia, Vietnam dan Thailand di rantau ASEAN telah menunjukkan kejayaan manakala di peringkat global pula, hampir semua negara Eropah telah lama menggunakan insurans kesihatan sosial sebagai asas pembiayaan sistem kesihatan mereka,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Baru-baru ini, akhbar ini melaporkan kerajaan perlu melaksanakan dasar penyasaran subsidi rawatan kesihatan bagi memastikan sistem kesihatan negara tidak terus terbeban.
Presiden Persatuan Pakar Perubatan Kesihatan Awam Malaysia (PPPKAM), Prof. Dr. Jamaluddin Ab. Rahman berkata, penyasaran subsidi tersebut dilihat lebih berkesan untuk menyelesaikan isu kewangan yang dihadapi.
Mengulas lanjut, Dr. Syed berkata, subsidi kesihatan perlu difokuskan kepada golongan B40 bagi memastikan mereka dapat mengakses perkhidmatan kesihatan yang berkualiti tanpa perlu memikirkan beban kewangan.
DISKRIMINASI
Jelasnya, ini dapat mengelakkan stigma dan diskriminasi terhadap golongan B40 yang sering diberi rawatan berkualiti rendah berbanding mereka yang tidak menerima subsidi.
“Walau bagaimanapun, beberapa cabaran perlu diatasi antaranya mekanisme pengecualian bayaran bagi golongan tidak mampu perlu diperbaiki, serta keperluan data yang tepat untuk mengenal pasti golongan yang layak,” katanya.
Sementara itu, bekas Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Dr. Lee Boon Chye berkata, perancangan peningkatan sistem kesihatan perlu merujuk kepada cadangan dalam Kertas Putih yang telah dibentangkan dan diluluskan di Parlimen pada 2023.
Menurut beliau, dalam cadangan tersebut, bagi fasa pertama (lima tahun) perlu memberi tumpuan untuk meningkatkan kapasiti kemudahan kesihatan awam.
“Fasa seterusnya akan meneliti sistem pembiayaan kesihatan yang mampan seperti insurans kesihatan universal serta penyelarasan dan integrasi perkhidmatan antara sektor awam dan swasta,” katanya.

































