Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani tewas kepada pasangan dari Thailand, Kittinupong Kedren-Dechapol Puavaranukroh 21-13, 21-13 pada aksi pusingan pertama Terbuka Denmark 2024, semalam.
PETALING JAYA: Masih terbuai dengan gelaran Terbuka Arctic 2024, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani gagal melepasi halangan pertama di Terbuka Denmark 2024, malam tadi.
Menurut Utusan Malaysia, turun selaku pilihan ketujuh, Sze Fei-Nur Izzuddin ‘dijinakkan’ oleh pasangan kerdil dari Thailand, Kittinupong Kedren-Dechapol Puavaranukroh 21-13, 21-13 dalam tempoh 32 minit.
Kekalahan itu menyaksikan mereka menjadi wakil ketiga yang tersingkir di pusingan pertama pada kejohanan bertaraf Super 750 selepas pasangan campuran Goh Soon Huat-Shevon Lai dan pemain perseorangan lelaki, Leong Jun Hao.
Sementara itu, gandingan campuran profesional negara, Tan Kian Meng-Lai Pei Jing berjaya mara ke pusingan kedua, malam tadi.
Pasangan No. 17 dunia itu menewaskan gandingan England, Ethan Van Leeuwen-Chloe Birch 21-7, 21-14 dalam tempoh 30 minit.
Mereka seterusnya akan bertemu pasangan Thailand, Supak Jomkoh-Sapsiree Taerattanachai atau gandingan Taiwan, Yang Po Hsuan-Hu Ling Fang pada aksi pusingan kedua, hari ini.


































