Erik Ten Hag
LONDON: Nasib Erik Ten Hag bersama Manchester United dilaporkan berada pada fasa akhir selepas secara berterusan gagal untuk mengatasi masalah prestasi kelab itu.
Menurut Utusan Malaysia, semalam, pemilik United Joel Glazer, ketua eksekutif, Omar Berrada, pengarah sukan, Dan Ashworth, pengarah teknikal, Jason Wilcox dan penasihat kelab, Sir Dave Brailsford menyertai Jim Ratcliffe dalam satu mesyuarat selama enam jam dipercayai membincangkan masa depan ten Hag di Old Trafford dan mencari penggantinya.
Laporan Daily Mail menyebut masa depan ten Hag akan diputusan tiga individu penting, Glazer, Ratcliffe dan Brailsford selepas mendapat pandangan daripada Berrada, Ashworth dan Wilcox.
Menurut laporan Manchester Evening News, pemilik bersama United, Ratcliffe dikatakan sudah mula mencari pengganti berpotensi dengan Thomas Tuchel muncul sebagai sasaran utama.
United mengalami permulaan terburuk dalam sejarah di kempen Liga Perdana Inggeris (EPL) dengan hanya mengumpul lapan mata daripada tujuh perlawanan.
Seri 0-0 dengan Aston Villa pada Ahad lalu menambahkan lagi tekanan buat pengurus dari Belanda itu yang dilihat semakin berisiko untuk kehilangan tempatnya di Old Trafford.
Situasi semakin ‘panas’ apabila Ratcliffe juga mengeluarkan kenyataan enggan menyokong Ten Hag secara terbuka bagi menjaga kepentingan bersama dengan peminat.
Ketika ini, Tuchel tidak bekerja sejak meninggalkan Bayern Munich pada Jun lalu dan dia juga mempunyai pengalaman di Liga Perdana Inggeris (EPL) kerana pernah bersama Chelsea selama 20 bulan.
Bagaimanapun, Ratcliffe juga perlu menilai beberapa nama lain untuk mengisi kerusi panas United kerana Tuchel pernah menyatakan dia tidak berminat untuk ‘bekerja’ di Old Trafford.
Selain Tuchel, Graham Potter dan Gareth Southgate adalah antara individu yang boleh dipertimbangkan oleh Ratcliffe dan individu sekelilingnya untuk mengemudi United.
Dalam pada itu, akhbar Perancis L’Equipe menyatakan bahawa Zinedine Zidane juga berminat untuk mengambil alih tempat Ten Hag namun, masalah bahasa mungkin menjadi penghalang.


































