Azam Baki
PETALING JAYA: Seramai 50 penguat kuasa termasuk pegawai Jabatan Imigresen Malaysia yang ditahan kerana disyaki terlibat kegiatan ‘counter setting’ dicadang sama didakwa atau dikenakan tindakan tatatertib.
Menurut Utusan Malaysia, Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki berkata, pihaknya setakat ini sudah menahan 50 suspek berkaitan siasatan kes counter setting.
“Saya mahu tengok adalah (siasatan) kita telah disiap dan cuma kita kena bawa kepada pendakwa raya untuk keputusan mereka.
“Jadi kita akan cadangkan beberapa pertuduhan terhadap mereka dan tidak kurang juga di mana kes-kes yang dilihat boleh dibawa kepada pihak jabatan (JIM) untuk dicadangkan tindakan tatatertib juga akan dibuat kerana ramai kita telah tangkap iaitu 50 orang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui wartawan selepas menjadi tetamu pada program Malaysia Hari Ini (MHI) di Sri Pentas, Bandar Utama di sini semalam.
Sementara itu, Azam berkata, beliau juga akan bertemu dengan Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berhubung cadangan tindakan tatatertib oleh Jim terhadap kakitangannya yang terbabit dengan kegiatan ‘counter setting’.
“Saya ingin kongsikan bahawa saya akan berjumpa dengan Ketua Pengarah JIM yang baharu di mana kita ada lagi maklumat-maklumat yang saya rasa boleh dikongsi dengan pihak beliau untuk diambil tindakan dalaman oleh Unit Integriti beliau.
“Saya akan berbincang mengenai isu yang berlaku di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1 dan 2 dengan lebih lanjut berkait isu ‘counter setting’,” katanya.
Sebelum ini, SPRM menyenaraikan 11 masalah dan kelemahan utama membabitkan JIM sehingga membuka ruang kepada sindiket membawa masuk warga asing menggunakan modus operandi ‘counter setting’.
Azam dilaporkan berkata, masalah utama berlakunya masalah itu adalah disebabkan kelonggaran dalam aspek kawalan dalaman ketika bertugas yang menyebabkan pegawai Imigresen mudah didekati oleh ejen sindiket.
Katanya, kelemahan lain ialah pusingan tempat kerja bagi pegawai Imigresen yang bertugas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1 dan 2 tidak sistematik.
Azam turut dilaporkan berkata dalang utama yang terbabit isu ‘counter setting’ akan didakwa Oktober ini.
Ketika ditanya sama ada berlaku isu ‘counter setting’ di lapangan terbang lain selain KLIA Terminal 1 dan 2, Azam berkata perkara itu dalam siasatan.
“Sebenarnya kes ini (counter setting) berlaku di kedua-dua KLIA1 dan KLIA2, jadi ini kes yang kita siasat.
“Pemantauan sedang dibuat secara berterusan oleh pegawai-pegawai saya baik di KLIA1 dan di KLIA2. Di lapangan terbang lain belum lagi, tetapi yang besar dan kita bincangkan adalah di dua lapangan terbabit,” katanya.
SPRM sebelum ini membongkar kegiatan sindiket membawa masuk warga asing, termasuk dari Myanmar, Bangladesh, Indonesia, India, Pakistan, dan Nepal, melalui pintu masuk negara tanpa pemeriksaan pihak berkuasa.
Sindiket berkenaan disyaki didalangi beberapa penguat kuasa sebuah agensi yang bertugas di pintu masuk negara, dengan menjadi tali barut bagi melepaskan kumpulan warga asing tiba tanpa melalui prosedur ditetapkan, menerusi modus operandi ‘counter setting’.
Kegiatan sindiket itu terbongkar selepas SPRM menahan 12 individu membabitkan sembilan lelaki dan tiga wanita berusia lingkungan 20 hingga 50-an di sekitar Lembah Klang, Pulau Pinang dan Kelantan, bulan lalu.


































