Malaysia bakal mempunyai vaksin tempatan halal pertama menjelang 2027.
PUTRAJAYA: Malaysia bakal menghasilkan dua jenis vaksin tempatan halal pertama menjelang 2027 di bawah inisiatif dan pembiayaan oleh Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI).
Menurut Utusan Malaysia, Ketua Setiausaha Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Dr. Aminuddin Hassim berkata, dua vaksin itu berupaya mencegah enam jenis penyakit menerusi projek Hexavalent Vaccine Development Containing Novel Acellular Pertussis & Inactivated Polio Antigens.
Manakala, satu lagi vaksin akan melindungi manusia daripada 13 serotaip (jenis) bakteria Streptococcus Pneumoniae iaitu penyebab utama penyakit radang paru-paru menerusi projek Development and Technology Transfer for Malaysia’s First Pneumococcal Conjugated Vaccine.
“Kedua-dua vaksin itu akan dibangunkan oleh syarikat tempatan bersama rakan strategik luar negara melalui pemindahan teknologi .
“Vaksin yang dapat melindungi manusia daripada enam jenis penyakit itu ialah penyakit berkaitan Difteria (tifoid), Tetanus (kancing gigi), Pertusis (batuk kokol), Poliomielitis (polio, Haemophilus jenis b (Hib) dan Hepatitis B (Hep-B).
“Kedua-dua vaksin ini tersenarai dalam Pelan Imunisasi Kebangsaan (NIP),” katanya kepada Utusan Malaysia.
Jelasnya, penyelidikan pembangunan vaksin halal di Malaysia masih rendah dan memerlukan pendedahan lebih besar.
Sehubungan itu, bagi memperkasa usaha ini, MOSTI memperkukuh inisiatif dengan menyediakan geran penyelidikan dan pembangunan, mempromosikan kerjasama strategik antara universiti, dan industri.
Ini termasuk membangunkan platform khusus untuk mengintegrasikan kepakaran tempatan dalam menghasilkan vaksin patuh syariah.
“Secara amnya, pembuatan vaksin melibatkan beberapa peringkat kritikal seperti penyelidikan, pengeluaran bahan mentah, formulasi dan pengujian keselamatan.
“Dalam perspektif Islam, satu daripada cabaran utama dalam pembangunan vaksin halal adalah mengenal pasti dan memastikan titik kawalan halal dipatuhi sepanjang proses pembuatan.
“Bagi tujuan tersebut, MOSTI membiayai beberapa projek berkaitan pembangunan vaksin halal seperti Alternative Vaccine Production Pipelines Towards Halal Vaccine Development yang sedang dilaksanakan oleh Institut Bioteknologi Kebangsaan Malaysia,” katanya.


































