Dion Cools antara pemain warisan berkualiti yang ada dalam senarai skuad Harimau Malaya.
PETALING JAYA: Pengendali Harimau Malaya, Pau Marti Vicente menyedari tentang spekulasi mengaitkan beberapa pemain warisan yang berpangkalan di luar negara.
Bagaimanapun, beliau enggan mengulas mengenai pemain warisan kerana tidak pernah berjumpa dan hanya akan bercakap lebih lanjut jika status mereka telah disahkan.
Menurut Utusan Malaysia, jurulatih kelahiran Sepanyol itu, menegaskan buat masa ini tumpuan barisan kejurulatihan hanya kepada pemain yang sedia ada dalam pasukan kebangsaan sahaja.
“Nama-nama (pemain warisan) itu perlu kita lihat dahulu dan saya rasa sukar untuk mengulas mengenai pemain yang tiada di sini. Selepas disahkan baru kita boleh bercakap.
“Saya rasa buat masa ini kami mempunyai ramai pemain, pemilihan ini sukar kerana hampir semua pemain bermain dengan baik di kelab, jadi kami perlu membuat keputusan yang tepat.
“Saya sangat gembira dengan kualiti yang kami ada dan jika ramai pemain (pemain baharu) datang, mereka perlu bersaing untuk mendapatkan tempat,” kata Pau Marti.
Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai spekulasi beberapa pemain warisan yang bermain di luar negara yang dikaitkan dengan Malaysia ketika ini.
Antara nama pemain berkenaan adalah kapten kelab Liga Kejuaraan Inggeris Burnley, Josh Brownhill dan pemain pertahanan kelab Eredivisie Go Ahead Eagles, Mats Deijl.
Selain itu, beberapa nama lagi turut disebut sebelum ini iaitu Dylan Van Wageningen yang berdarah Belanda-Malaysia; Joshua Rawlins (kacukan Malaysia-Australia); Addis Goode (kacukan Malaysia-Australia); Sam Bone (kacukan Malaysia-England); Jez Bedford (kacukan Malaysia-England); Omar Bjorn Stefansson (kacukan Malaysia-Iceland) dan Kobe Jae Chong (kacukan Malaysia-Jamaica).
Mengulas lanjut, Pau Marti berkata dari perspektif kejurulatihan, mereka akan mempertimbangkan sebarang peluang untuk memperkuatkan pasukan kebangsaan.
“Saya fikir bagaimana dunia berputar ketika ini, akan ada lebih banyak campuran di setiap negara.
“Sebagai jurulatih, jika pemain tersebut layak bermain untuk negara maka kita perlu mengakses dan melihat sama ada mereka cukup bagus untuk menjadi sebahagian daripada pasukan,” ujarnya.


































