Redonah dan Dr Stephen bersama para pemimpin dan perwakilan Gagasan Rakyat Kapayan semasa Mesyuarat Agung Tahunan Gagasan Rakyat Bahagian Kapayan di Wisma Kinsabina, Penampang, hari ini.
PENAMPANG: Jentera Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) diingatkan supaya tidak leka dengan pencapaian yang ada berikutan tempoh Pilihan Raya Negeri (PRN) Ke-17 sudah semakin hampir.
Ketua Wanita Gagasan Rakyat, Datuk Redonah Bahanda berkata, sebagai parti yang menyandang kerajaan, seluruh jentera perlu sedar bahawa mereka memikul tugas dan tanggungjawab besar mempertahankan parti.
Beliau berkata, setiap jentera harus bergerak secara proaktif mendekati akar umbi memberi penjelasan apa sahaja isu yang timbul selain mendapatkan maklum balas mengenai masalah dan keperluan rakyat.
“PRN sudah semakin hampir dan kita sebagai jentera parti tidak boleh lagi leka hanya kerana kita berada di pihak kerajaan.
“Hakikatnya berada di pihak kerajaan lebih sukar untuk mempertahankan pencapaian yang ada memandangkan pembangkang boleh bercakap dan berjanji mengenai apa sahaja walaupun realitinya mereka tidak mampu,” katanya ketika merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Gagasan Rakyat Bahagian Kapayan di Wisma Kinsabina, di sini, hari ini.
Hadir sama Ketua Bahagian Gagasan Rakyat Kapayan, Datuk Dr. Stephen Jacob Jimbangan, Ketua Beliawanis Gagasan Rakyat, Emmy Datuk Martin Idang, Penolong Setiausaha Gagasan Rakyat, Fahzean Mohiddin, Exco Wanita Gagasan Rakyat, Dr. Davina Datuk Markus Majihi, Ketua Wanita Gagasan Rakyat Likas, Halizah Din serta ahli jawatankuasa bahagian, Pergerakan Wanita, Pemuda dan Beliawanis Gagasan Rakyat Kapayan.
Redonah yang juga Ketua Wanita Gagasan Rakyat Bandau berkata, setiap program di peringkat akar umbi tidak boleh dilaksanakan secara one-off sahaja sebaliknya perlu ada susulan termasuk memperkasakan program yang telah disempurnakan.
“Kita juga perlu sentiasa berpegang kepada prinsip bekerja sebagai satu pasukan dan bukan bergerak secara sendiri-sendiri. Tanpa pasukan yang mantap tidak mungkin kita mampu melaksanakan gerak kerja dengan baik.
“Begitu juga tanpa pasukan tidak mungkin kita dapat menahan asakan-asakan parti lawan yang sentiasa cuba mencari kelemahan kita. Mereka hanya bekerja mencari kelemahan sedangkan kita sebagai kerajaan bekerja membela nasib dan masa depan rakyat,” ujar beliau.
Beliau berkata, tanpa jentera yang berkesan, sukar bagi kerajaan untuk memberi kefahaman jelas kepada rakyat di peringkat akar umbi khususnya mengenai isu-isu berkaitan dengan ekonomi, kestabilan dan keselamatan.
“Rakyat perlu memahami betapa pentingnya sebuah kerajaan yang stabil dan dipimpin oleh orang yang berkebolehan. Bukan semua parti boleh menjadi kerajaan dan bukan semua orang boleh memimpin dengan baik.
“Rakyat perlu dijelaskan bahawa pimpinan kerajaan hari ini sudah mempunyai trek rekod yang baik dan mesti disokong serta diberi mandat untuk meneruskan pemerintahan secara stabil, aman dan berkesan,” tambah beliau.


































