Razarudin Husain
PETALING JAYA: Siasatan polis ke atas Datuk Dr. Mashitah Ibrahim dan suaminya tidak menemui bukti pasangan itu terlibat dengan sindiket pemerdagangan manusia di Myanmar.
Menurut Utusan Malaysia, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, pemeriksaan polis mendapati tiada pelaburan dibuat bekas Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu di luar negara yang mempunyai kaitan dengan sindiket tersebut.
Menurut beliau, ini hasil daripada analisis beberapa akaun bank dimiliki individu yang disiasat mendapati wang dalam akaun bank merupakan wang simpanan.
“Sebelum ini kita mengesahkan keberadaan ahli politik bersama suaminya serta tiga lagi individu ke Myanmar untuk urusan pelaburan hartanah namun siasatan mendapati tiada sebarang pelaburan dibuat.
“Setakat ini seramai 11 individu telah diambil keterangan berkaitan kes tersebut,” katanya kepada Utusan Malaysia semalam.
Mengulas lanjut, kata Razarudin berkata, siasatan polis setakat ini belum terdapat pembuktian kukuh untuk membabitkan semua yang disiasat dengan sindiket pemerdagangan manusia.
Katanya, siasatan kini diteruskan berkaitan peranan seorang Datuk Seri disyaki sebagai ‘dalang’ dalam mengenal pasti pelabur- pelabur yang berpotensi untuk melabur di Myanmar.
“Kita juga menyiasat peranan lelaki disyaki mengambil kesempatan untuk menjana keuntungan daripada pelabur-pelabur yang berjaya dipujuk.
“Ini juga bagi mengenal pasti perhubungan antara beberapa individu serta dua ahli perniagaan rakyat China,” katanya.
Media semalam melaporkan polis sedang melakukan analisis dan penelitian terhadap kedudukan kewangan beberapa syarikat bagi membantu siasatan berhubung kes pemerdagangan manusia di Myanmar yang didakwa ada kaitan dengan Dr. Mashitah.
Razarudin dilaporkan berkata, laporan diperoleh Bank Negara Malaysia (BNM) dan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) itu turut membabitkan maklumat beberapa individu, termasuk Mashitah serta ahli perniagaan tempatan bergelar ‘Datuk Seri’.
“Kita turut melakukan semakan penerbangan bagi melihat pergerakan ke luar negara, khususnya Myanmar, oleh individu berkenaan sejak 2019.
“Selain itu, polis juga akan mengambil keterangan beberapa individu, khususnya mereka yang pernah menjadi mangsa pemerdagangan manusia dan berjaya dibawa pulang dari Myanmar ke negara ini,” katanya.


































