PETALING JAYA: Siasatan terhadap aktiviti counter setting di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1 yang dibongkar Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak menolak kemungkinan ribuan warga asing sudah ‘terlepas’ masuk ke negara ini tanpa melalui prosedur dan pemeriksaan yang ditetapkan.
Menurut Utusan Malaysia, satu sumber mendedahkan, kumpulan warga asing itu khususnya dari Myanmar, Bangladesh, Indonesia, India, Pakistan serta Nepal itu dipercayai memasuki negara ini menggunakan Pas Lawatan sosial (PLS) sebelum dokumen berkenaan dimanipulasi bagi membolehkan mereka terus menetap di negara ini dengan tempoh yang lebih lama.
Kata sumber itu, kumpulan warga asing ini akan masuk ke negara ini menerusi penerbangan dari negara asal mereka sebelum melalui ‘kaunter khas’ tanpa pemeriksaan yang ketat meskipun dokumen yang dikemukakan mereka tidak lengkap.
“Sepatutnya, jika masuk menggunakan PLS, mereka tidak dibenarkan bekerja sepanjang tempoh lawatan tetapi berlaku sebaliknya berlaku. Mereka akan cari rakan-rakan senegara yang sudah berada di sini dan terus tinggal sebagai pendatang tanpa izin (PATI) meskipun pas lawatan mereka sudah tamat tempoh.
“Ada di antara mereka ini dikesan bekerja di pelbagai sektor khususnya sektor binaan bagi kelangsungan hidup. Keadaan ini menyebabkan isu lambakan PATI tidak dapat diselesaikan,” katanya di sini.
Dalam pada itu, sumber berkata, lebih 15 akaun milik beberapa individu dan dua penguatkuasa dibekukan SPRM bagi siasatan lanjut.
“Pembekuan akaun berkenaan bagi mengesan sebarang transaksi yang boleh dikaitkan dengan jenayah yang dilakukan lanjutan daripada penahanan 13 individu termasuk dua penguatkuasa ditahan di KLIA minggu lalu,” jelasnya.
Baru-baru ini, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki mengesahkan tujuh lagi individu ditahan terdiri tiga anggota penguat kuasa dari Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dan seorang anggota polis disyaki terbabit sindiket membawa masuk warga asing menggunakan modus operandi counter setting.
Dalam pada itu, seorang pegawai imigresen turut diburu selepas disyaki melarikan diri sebaik saja operasi siasatan kes itu bermula.
Pada 20 Ogos lalu, SPRM berjaya membongkar kegiatan sindiket yang membawa masuk warga asing melalui kaunter-kaunter tertentu menerusi Op Pump.
Rentetan itu, kira-kira 46 pegawai penguatkuasa yang bertugas di KLIA dikesan bersekongkol menerima rasuah daripada sindiket terlibat.
Kesemua mereka disyaki menjadi tali barut dengan menerima bayaran antara RM500 hingga RM2,500.
Difahamkan, jumlah bayaran rasuah yang dibayar itu berbeza mengikut kewarganegaraan warga asing yang dibawa masuk.


































