PENAMPANG: Pergaduhan sekumpulan warga Pakistan di sini seperti yang tular di media sosial berpunca daripada perasaan tidak puas hati.
Ketua Polis Daerah Penampang, Superintenden Sammy Newton yang mengesahkan kejadian tersebut berkata, polis sedang giat memburu tiga suspek yang terlibat dalam pergaduhan tersebut.
Menurutnya, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang telah terkesan dua video tular berdurasi 0.45 saat dan 1 minit 18 saat dimuat naik di media sosial yang memaparkan pergaduhan sekumpulan warga Pakistan di sebuah kawasan di daerah ini awal hari ini.
“Pihak polis juga mengesahkan telah menerima satu laporan polis bersabit Penampang/RPT/9010/24 pada jam 5.06 petang kelmarin oleh seorang pengadu lelaki warga Pakistan yang menjadi mangsa dalam pergaduhan tersebut.
“Hasil siasatan awal pihak polis mendapati pergaduhan adalah berpunca daripada tidak puas hati oleh dua pihak.
“Polis sedang giat memburu tiga lagi suspek yang terlibat dalam pergaduhan tersebut.
“Kes masih dalam siasatan pihak polis satu kertas siasatan telah dibuka dan kes disiasat di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan iaitu kerana dengan sengaja mendatangkan kecederaan menggunakan senjata berbahaya,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sammy turut meminta orang ramai atau saksi kejadian untuk tampil memberikan maklumat untuk membantu siasatan di balai polis berdekatan.
Pihak polis menasihatkan orang awam supaya tidak menyebarluaskan rakaman video tersebut di mana-mana platform media sosial bagi mengelakkan sebarang kegusaran awam.


































