KOTA KINABALU: Menteri Belia dan Sukan Sabah, Datuk Ellron Angin berkata,
Kerajaan Negeri akan meneliti dan
mempertimbangkan semula cadangan untuk menjadi penganjur bersama Sukan SEA 2027.
Beliau berkata, Jemaah Menteri Sabah sebulat suara membuat keputusan ini selepas meneliti dan menilai pelbagai aspek pada mesyuarat yang dipengerusikan oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor di sini kelmarin.
“Berkenaan cadangan awal Sabah menjadi
penganjur bersama Sukan SEA 2027, ia masih memerlukan persetujuan Jemaah Menteri Sabah.
“Kelmarin, kami telah bersetuju
bahawa Sabah akan meneliti dan mempertimbangkan semula
cadangan tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ellron Angin
Ellron berkata, Kementerian Belia dan Sukan Sabah akan mengadakan perbincangan lanjut bersama Kementerian Belia dan Sukan Persekutuan untuk mendapatkan perincian lanjut cadangan
penganjuran bersama Sukan SEA 2027.
“Saya akan bertemu dengan Menteri Belia dan Sukan Persekutuan secepat mungkin
untuk membincangkan dan memperjelaskan perkara ini secara terperinci.
“Hasil perbincangan dan maklumat terperinci berkaitan penganjuran akan dibentangkan untuk pertimbangan Jemaah Menteri Sabah.”
Meskipun begitu, beliau berkata, Kerajaan Negeri amat menyambut baik hasrat
Kerajaan Persekutuan untuk menganjurkan temasya ini dan akan memberikan sokongan penuh serta bekerjasama erat untuk memastikan kejayaan Sukan SEA 2027.

































