Harimau Malaya perlu meraih pelbagai kejayaan pada masa hadapan.
PETALING JAYA: Petunjuk prestasi utama (KPI) lebih jelas perlu diberikan kepada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) selepas badan induk itu diberikan peruntukan RM15 juta seperti yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Menurut Utusan Malaysia, Pensyarah Kanan Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam, Mohd. Sadek Mustafa berkata, KPI pertama yang perlu diberikan kepada FAM ialah Harimau Malaya perlu menjuarai Piala AFF pada Disember ini.
Dalam masa yang sama katanya, pemain yang dipilih untuk mewakili Harimau Malaya juga perlu mempamerkan semangat juang yang tinggi, seiring dengan sokongan yang diberikan oleh Perdana Menteri kepada FAM ketika ini.
“Dalam sukan ini, jika tidak menang, kita tidak akan capai apa-apa. Jadi kena ada KPI. Oleh itu, kemenangan dan menjuarai Piala AFF adalah KPI yang utama dan kita perlu memastikan pasukan menjadi juara dalam kejohanan tersebut,” kata Sadek.
Beliau berkata demikian bagi mengulas mengenai peruntukan RM15 juta yang diumumkan Anwar kepada FAM kelmarin bagi memperkasakan skuad Harimau Malaya pada masa akan datang.
Dalam pengumuman kelmarin, Anwar memaklumkan, peruntukan sebanyak RM10 juta adalah daripada kerajaan manakala RM5 juta lagi komitmen daripada syarikat swasta khusus untuk kebajikan, latihan dan pengurusan pasukan berkenaan.
“Pada hari ini (kelmarin), mengenangkan banyak masalah dan rakyat terutama orang muda minat mengenai bola sepak, saya mengambil keputusan untuk secara peribadi memantau dan membantu memperkukuh pasukan Harimau Malaya di Malaysia.
“RM15 juta khusus untuk pasukan Harimau Malaya, pengurus, jurulatihnya yang terbaik supaya beberapa tahun kita dapat angkat Harimau Malaya di antara gergasi di Asia,” katanya.
Mengulas lanjut, Sadek juga berpendapat FAM perlu merangka program pembangunan secara holistik termasuk memastikan skuad muda negara meraih kejayaan dalam Sukan SEA yang akan datang.

































