Virgil van Dijk
LIVERPOOL: Kapten Liverpool, Virgil van Dijk berkata fokusnya kini lebih kepada memimpin The Reds di bawah kendalian pengurus baharu, Arne Slot walaupun masa depannya bersama pasukan masih belum diketahui.
Menurut Utusan Malaysia, pertahanan tengah Belanda itu mempunyai kurang daripada setahun baki kontraknya tanpa ada sebarang tanda dia memperbaharui perjanjian tersebut.
Van Dijk menjadi watak utama kepada kejayaan Liverpool sejak menyertai kelab itu dengan rekod perpindahan pertahanan termahal di dunia yang bernilai 75 juta pound (RM364 juta) pada Januari 2018.
“Saya sangat tenang. Saya mahu menjadi individu penting dan kekal penting untuk kelab. Apa yang berlaku? Kita lihat saja tetapi saya sangat tenang mengenai situasi saya.
“Tiada sebab untuk saya memikirkan perkara lain kerana mempunyai seluruh musim untuk beraksi,” katanya.
Pemain berusia 33 tahun itu dijangka akan menjadi watak penting untuk membantu Slot menyampaikan idea-ideanya ketika dia berdepan tugas getir menggantikan Jurgen Klopp.
“Apa saja yang berlaku sekarang, Anfield mempunyai tempat istimewa di hati saya. Dan ia satu kejayaan. Mari lihat apa yang akan berlaku.
“Bermain untuk Liverpool, salah satu daripada kelab paling berjaya di dunia. Ia berasa hebat untuk menyarung jersi ini,” katanya lagi.


































