Goh Sze Fei-Nur Izzudin
PETALING JAYA: Beregu lelaki negara, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Mohd Rumsani mara ke separuh akhir selepas melakar kejutan ke atas pasangan No. 6 dunia, Fajar Alfian-Muhammad Rian Ardianto pada peringkat lapan terbaik Kejohanan Badminton Terbuka Jepun di Yokohama Kanagawa, Jepun, kelmarin.
Menurut Utusan Malaysia, pasangan yang menghuni ranking ke-12 dunia itu mengambil masa selama 54 minit sebelum mengetepikan cabaran wakil dari negara tetangga, Indonesia menerusi kemenangan yang diheret sehingga ke rubber set 21-16, 10-21, 21-16.
Sze Fei-Izzuddin tidak memiliki rekod pertemuan yang baik ke atas bekas beregu No. 1 dunia itu dan kelmarin, mereka akhirnya berjaya menggerakkan angka satu kepada dua kemenangan berbalas lapan menentang Fajar-Rian.
Pada separuh akhir, hari ini, beregu lelaki No. 2 Malaysia itu bakal berdepan gandingan Indonesia, Leo Rolly Carnando-Bagas Maulana.
Bagaimanapun, nasib berbeza menimpa satu lagi beregu lelaki negara, Man Wei Chong-Tee Kai Wun apabila langkah pasangan ke-17 dunia itu disekat pada suku akhir.
Kerap melakukan kesilapan dan permainan yang serba tidak menjadi menyaksikan Wei Chong-Kai Wun tidak mampu menandingi ketangkasan beregu Korea Selatan yang menghuni ranking No. 4 dunia, Kang Min Hyuk-Seo Seung Jae 15-21, 9-21 dalam masa 30 minit.
Sementara itu, dalam saingan beregu wanita, gandingan negara yang kini berada di ranking No. 10 dunia, Pearly Tan-M. Thinaah tewas kepada pemenang pingat perak Sukan Olimpik Paris, Liu Sheng Shu-Tan Ning dari China 21-17, 14-21, 10-21 dalam masa 61 minit.































