Anwar Ibrahim melihat buku PuTERA35 pada Majlis Peluncuran Pelan Transformasi Ekonomi Bumiputera 2035 (PuTERA35) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) Putrajaya.
PUTRAJAYA: Status sosioekonomi masih terperangkap dalam kelas menengah dan sederhana antara isu yang terus membelenggu bumiputera.
Menurut Utusan Malaysia, Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berkata, penyertaan bumiputera juga dilihat lebih tertumpu dalam aktiviti ekonomi yang mempunyai nilai ditambah rendah.
Beliau berkata, antara faktor utama adalah berkait dengan ketidakupayaan bumiputera untuk menyumbang secara lebih bermakna kepada ekonomi negara selain hasrat kerajaan untuk mewujudkan masyarakat perdagangan dan perindustrian bumiputera belum tercapai sepenuhnya.
“Ia secara tidak langsung telah menyebabkan jurang pendapatan dan kekayaan antara etnik semakin melebar.
“Perusahaan bumiputera dilihat mempunyai kurang keupayaan dan kemampuan untuk mencipta nilai serta mengembangkan perniagaan apabila sebahagian besar daripada perusahaan ini bersaiz mikro dan kecil.
“Keterbatasan modal dan sokongan pada peringkat awal terutama syarikat pemula, turut menjadi faktor kepada isu ini yang seterusnya menyebabkan kebergantungan berterusan kepada geran dan pembiayaan kerajaan,” katanya ketika berucap di majlis Peluncuran Pelan Transformasi Ekonomi Bumiputera 2035 (PuTERA35) di sini hari ini.
Menurut Rafizi, bumiputera hanya mewakili tujuh peratus daripada syarikat tersenarai awam sehingga tahun 2022, iaitu 62 syarikat daripada 945 syarikat yang tersenarai dalam Bursa Malaysia.
Katanya, dalam aspek penyertaan tenaga buruh pula, kadar pengangguran dalam kalangan bumiputera masih tinggi.
Berdasarkan Laporan Survei Tenaga Buruh Malaysia 2022, bilangan bumiputera yang menganggur mewakili 387,800 orang atau 61.5 peratus daripada jumlah keseluruhan 630,400 orang yang menganggur.
“Sebanyak 70.8 peratus Bumiputera yang menganggur adalah daripada kumpulan belia yang berumur antara 15 hingga 30 tahun.
“Bumiputera mempunyai peluang dan potensi untuk memainkan peranan yang lebih bermakna dalam sektor dan industri baharu yang mempunyai nilai ditambah yang tinggi, termasuk Industri Pertumbuhan Bernilai Tinggi (HGHV).
“Hari ini kita akan berpeluang untuk diperkenalkan dengan hala tuju baharu pembangunan ekonomi bumiputera, (PuTERA35) sebagai satu langkah proaktif untuk mengangkat darjat dan
martabat bumiputera.
“Pelan ini menggagaskan tiga teras yang sejajar dengan Ekonomi Madani iaitu pertama, memperkukuh pasak ekonomi negara; kedua, memperkukuh kerukunan tatakelola dan institusi dan ketiga, menegakkan keadilan sosial,” katanya.

































