Anwar Ibrahim menerima kunjungan hormat Pengiran Muda Mahkota Al-Muhtadee Billah Sultan Hassanal Bolkiah di Putrajaya.
PETALING JAYA: Hubungan erat dan kerjasama dua hala antara Malaysia dan Brunei kini berada pada tahap terbaik dan akan terus diperkukuh.
Menurut Utusan Malaysia, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kunjungan hormat Putera Mahkota Brunei, Pengiran Muda Mahkota Al-Muhtadee Billah Sultan Hassanal Bolkiah membolehkan kedua-dua pihak berbicara panjang terkait usaha meningkatkan kerjasama Malaysia-Brunei dalam pelbagai bidang khususnya perdagangan dan pelaburan, pertahanan, pendidikan serta hal ehwal sempadan.
“Perbincangan turut meneroka potensi mengukuhkan kerjasama dalam pelbagai industri termasuk teknologi digital dan latihan, selain ruang untuk bersama-sama memperkasa hal ehwal syariah dan bahasa Melayu.
“Saya zahirkan penghargaan atas perkenan Putera Mahkota Brunei dan isteri mengadakan kunjungan hormat dan lawatan rasmi ke Malaysia, sekali gus membuka ruang untuk membina persahabatan yang lebih utuh demi kesejahteraan rakyat kedua-dua negara,” katanya dalam hantaran di Facebook.
Putera Mahkota Brunei yang juga Menteri Kanan di Pejabat Perdana Menteri, tiba di Malaysia Sabtu bagi memulakan lawatan rasmi lima hari dari 17 Ogos hingga 21 Ogos.
Pengiran Muda Mahkota Al-Muhtadee Billah dan isteri, Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Sarah tiba di Seri Perdana pada 11.25 pagi disambut Anwar dan isteri, Datuin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail.
Turut hadir, Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan dan Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli Abd Halim.
Untuk rekod, Brunei merupakan rakan dagangan keenam terbesar Malaysia dalam kalangan negara anggota ASEAN pada 2023, dengan jumlah dagangan sebanyak RM9.31 bilion.


































