PARIS: Peninju Algeria yang menjadi tumpuan pertikaian jantina di Sukan Olimpik Paris, Imane Khelif, memfailkan aduan undang-undang terhadap platform media sosial X atas tuduhan gangguan.
Menurut Utusan Malaysia, peguam pemegang pingat emas itu, Nabil Boudi berkata, Imane memfailkan aduan rasmi kepada pendakwa raya di Perancis pada Jumaat lepas.
Beliau dan seorang lagi pemenang pingat emas, Lin Yu-ting dari Taiwan, menjadi pusat pertikaian berprofil tinggi mengenai identiti jantina yang mencetuskan perdebatan di media sosial.
Memetik dokumen mahkamah, juara tinju itu memfailkan aduan terhadap X dengan mahkamah Paris, pusat kebangsaan untuk memerangi gangguan dalam talian.
“Peninju Imane Khelif memutuskan untuk memulakan perjuangan baharu, perjuangan untuk keadilan, maruah dan kehormatan,” katanya.
Menurut Boudi, Imane menegaskan semua dakwaan mengenai dirinya di media sosial adalah tidak bermoral.
Katanya, hantaran yang menyasarkan Imane melebihi 100 juta tontonan.
“Individu dalam aduan itu digambarkan sebagai ‘tokoh politik penting’ dengan pengikut yang ramai di X, syarikat media sosial milik CEO Tesla dan SpaceX, Elon Musk.
“Siasatan akan menentukan siapa di belakang kempen misoginis, rasis dan seksis ini serta mereka yang turut menyumbang kepada gangguan dalam talian,” katanya.
Kontroversi mengenai kelayakan Imane mendapat kritikan daripada beberapa tokoh terkenal seperti bekas Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, penulis novel Harry Potter, JK Rowling dan beberapa ahli politik sayap kanan Perancis.


































