MUAR: Polis mengklasifikasikan kes kebakaran yang meragut tiga nyawa tiga sekeluarga di Kampung Sekolah Paya Redan, Pagoh dekat sini, sebagai sebagai kes bunuh, khianat dengan api serta mendatangkan kecederaan parah.
Menurut Utusan Malaysia, Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Raiz Mukhliz Azman Aziz berkata, pihaknya membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 302, Seksyen 436 dan Seksyen 326 Kanun Keseksaan.
Menurutnya, hasil bedah siasat ke atas ketiga-tiga mangsa iaitu Noradriana Nor Hasyim, 11, datuk dan neneknya, Mohamed Nor Mohamed Yassin, 82, dan Ara Abdul Hamid, 76, mendapati ada unsur jenayah.
“Polis kini memburu seorang lelaki bernama Azman Mohamed Nor, 48, yang beralamat terakhir di No. 33, Jalan Sekolah, Kampung Paya Redan, Pagoh, Muar.
“Suspek dipercayai melarikan diri selepas kejadian kebakaran dengan menaiki sebuah motosikal,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Raiz Mukhliz berkata, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan lelaki tersebut boleh menghubungi Asisten Superintenden Siti Rohayu Salih di talian 016-2199592 atau menghubungi talian hotline Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Muar 06-9564800 atau mana-mana balai polis berdekatan.
Dalam kejadian kira-kira 1.30 pagi semalam, Noradriana serta datuk dan neneknya, Mohamed Nor dan Ara terkorban dalam kebakaran selepas rumah mereka di Kampung Paya Redan, Pagoh di sini hangus.
Kejadian malang itu turut menyebabkan seorang lagi mangsa, Norazima Mohd Radhi, 14, yang merupakan cucu warga emas itu mengalami kecederaan pada kepala dan kini dirawat di Hospital Pakar Sultanah Fatimah Muar.


































