PETALING JAYA: Polis masih giat memburu seorang lelaki tempatan yang menyerang dua wanita di surau Al-Ehsaniah Ahmadiah berhampiran sekolah agama rakyat di Kelana Jaya di sini, kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira 1.48 petang itu, polis menerima panggilan menerusi sistem Mers 999 oleh seorang wanita tempatan memaklumkan dua mangsa mengalami kecederaan akibat ditikam dengan senjata tajam dipercayai sebilah pisau.
Menurut Utusan Malaysia, Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Shahrulnizam Jaafar berkata, kejadian berlaku berhampiran surau yang turut menempatkan sebuah sekolah rendah agama di Kelana Jaya.
“Mangsa pertama cedera dipercayai ditikam dan dilibas di bahagian perut dan kepala manakala seorang lagi cedera di lengan kanan kiri.
“Kedua-dua mangsa berusia 26 dan 52 tahun menerima rawatan awal dari pasukan perubatan Bulan Sabit Merah yang hadir di lokasi kejadian seterusnya dibawa ke hospital untuk menerima rawatan lanjut,” katanya dalam kenyataan di sini kelmarin.
Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai kejadian boleh menghubungi Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya di talian 03-7966 2222.


































