Chan Foong Hin (dua kiri) menyampaikan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) 2023 di Dewan Jubli Perak LKTN, Kubang Kerian, Kelantan, kelmarin.
KOTA BHARU: Sebanyak 29,098 premis daripada 38,067 premis di Semenanjung Malaysia telah berdaftar lesen untuk menjual produk tembakau dari Lembaga Kenaf dan Tembakau (LKTN) sejak 1 Januari 2023 hingga 15 Julai lalu.
Menurut Utusan Malaysia, Timbalan Menteri Kementerian Perladangan dan Komoditi, Datuk Chan Foong Hin berkata, sektor industri tembakau dikawal dan dipantau melalui penguatkuasaan Peraturan-Peraturan LKTN (Pelesenan Tembakau Dan Keluaran Tembakau) 2011.
Menurutnya, selain itu, Peraturan-Peraturan LKTN (Pengkompaunan Kesalahan) 2024 turut diwartakan pada 12 Januari lalu dan berkuatkuasa pada 1 Februari.
“Pelaksanaan peraturan pelesenan LKTN kini telah memasuki fasa ketiga yang berkuatkuasa sejak 1 Januari lalu dengan memberi fokus utama kepada aktiviti pelesenan.
“Sasaran LKTN adalah untuk melesenkan sebanyak 17,488 baki premis yang belum memohon lesen mengedar tembakau atau keluaran tembakau dengan kadar fi sebanyak RM150 setahun,” katanya pada sidang media selepas Majlis Perhimpunan Bulanan dan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) 2023 di Dewan Jubli Perak LKTN, Kubang Kerian di sini kelmarin.
Foong Hin memberitahu, penguatkuasaan Peraturan-Peraturan LKTN (Pelesenan Tembakau dan Keluaran Tembakau) 2011 bagi lesen mengedar tembakau dan keluaran tembakau telah dilaksanakan bermula pada Mei lalu menggunakan pendekatan penguatkuasaan pendidikan (Smart Enforcement).
Katanya, penguatkuasaan itu diberikan kepada baki premis yang belum dilesenkan dengan memberi nasihat, teguran dan kempen kesedaran bagi mendapatkan lesen secara berterusan kepada pihak yang terlibat.
“Besar harapan saya agar industri tembakau akan terus diperkasa melalui kawal selia yang ditetapkan,” ujarnya.
Dalam pada itu, Foong Hin berkata, LKTN juga membangunkan satu kilang perintis dalam pemprosesan dan pengeluaran produk kenaf yang siap sepenuhnya sejak 2019 di Setiu, Terengganu.
“Kilang tersebut mampu mengeluarkan 2,400 tan metrik produk kenaf bukan tenunan dengan nilai RM16 hingga RM18 juta setahun untuk pasaran domestik dan eksport.
“Kilang itu turut menyokong pembangunan tanaman kenaf sehingga 1,000 hektar di kawasan sekitar melibatkan pekebun-pekebun kecil di Kelantan dan Terengganu,” ujarnya.




























