PETALING JAYA: Van jenazah yang dipandu laju dan dikejar sekumpulan lelaki bermotosikal sehingga tular di media sosial yang didakwa dicuri atau terbabit kes pecah rumah sebenarnya tersalah alamat.
Malah, pemandu van terbabit terpaksa melarikan diri selepas disangka mencuri dan melakukan pecah rumah sehingga cuba diserang individu.
Menurut Utusan Malaysia, Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, pihaknya terkesan video tular itu di Tiktok atas nama pemilik akaun PakLiyy96, yang dipercayai berlaku di kawasan Hulu Langat.
Menurut beliau, pihaknya menerima laporan dibuat pemandu van jenazah berusia 35 tahun berhubung kejadian berkenaan pada 3.58 petang Ahad.
“Lelaki itu yang memandu van jenazah ke satu kawasan perumahan di Kajang untuk dihantar kepada seorang mekanik sudah tersalah alamat, menyebabkan dia terpaksa memandu perlahan.
“Tetapi ia menyebabkan salah faham sehingga dia ditahan sekumpulan lelaki yang menuduhnya memandu kenderaan curi dan terbabit kes pecah rumah di kawasan itu.
“Kumpulan lelaki terbabit dikatakan cuba menyerang dan mengejar pemandu itu dengan membawa senjata kayu serta besi, menyebabkan dia melarikan diri bersama van jenazah terbabit,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, semakan mendapati tiada sebarang laporan kes pecah rumah atau kecurian van jenazah dilaporkan.
Malah, jelasnya, nazir sebuah masjid iaitu lelaki berusia 45 tahun mengesahkan menyerahkan van itu kepada pengadu untuk dibaiki sebelum itu.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan (ugutan jenayah) dan mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi Multimedia Malaysia (AKMM) 1998 bersabit dengan video tular yang mendatangkan kegusaran kepada orang lain.
“Pihak polis menasihati semua masyarakat supaya tidak membuat sebarang spekulasi atau kenyataan yang tidak benar di media sosial terutamanya yang boleh mendatangkan kekeliruan atau mengganggu ketenteraman awam sehingga menyebabkan berlakunya ketidakharmonian dalam kalangan masyarakat di negara ini,” katanya.




























