Gambar Hiasan
PETALING JAYA: Penjawat awam boleh menyemak kadar gaji baharu minggu hadapan susulan pelarasan gaji menerusi Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) yang diperkenal kerajaan.
Menurut Utusan Malaysia, Timbalan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (Operasi), Datuk Mohd. Shaiful Ibrahim berkata, perincian berkenaan mekanisme pelarasan gaji penjawat awam akan diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa Majlis Amanat Perdana Perkhidmatan Awam (MAPPA) ke-19, pada 16 Ogos ini.
“Pada MAPPA 16 Ogos ini, kita sediakan perkhidmatan kalau mahu mengira berapa kenaikan akan berlaku pada gaji kita.
“Ada kalkulator (untuk kira) berapa gaji kita. Pada 1 Disember, akan berlaku kenaikan gaji dan hujung bulan (Disember) penjawat awam akan terima kadar gaji yang baharu,” katanya hari ini.
MAPPA-ke19 akan berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya pada 8 pagi.
Menurut Bernama, Mohd. Shaiful berkata, SSPA itu terpakai kepada perkhidmatan awam Persekutuan dan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) akan mengeluarkan pekeliling mengenainya.
“Bagi penjawat awam negeri serta Pihak Berkuasa Berkanun dan Tempatan, jika mereka menerima SSPA ini, ia menerima pakai semua sama seperti penjawat awam Persekutuan,” katanya.
Mohd. Shaiful berkata, selain kenaikan gaji, sistem itu juga merangkumi pembangunan organisasi dan bakat pegawai serta manfaat kepada pesara.
“Mengikut Akta Pencen, jika berlaku kenaikan gaji kepada pegawai (sedang) dalam perkhidmatan, pesara-pesara juga akan terkesan. Jadi, bermaksud mereka juga akan menerima kenaikan mengikut formula-formula yang ditetapkan,” katanya.
Mengulas mengenai kajian semula skim pencen termasuk pengenalan kaedah caruman seperti dilaksanakan pihak swasta, beliau berkata, kerajaan memberi jaminan faedah yang akan dinikmati penjawat awam tidak akan kurang daripada ketika ini.
“Kerajaan tidak akan menanggung beban kewangan berterusan dan pegawai juga tidak menanggung kerugian.
“Faedah dinikmati pegawai akan sama, tidak kurang daripada orang yang dapat pencen akan ada caruman pekerja dan majikan,” katanya.
Mohd. Shaiful berkata, pada tahun lalu, kerajaan menanggung kira-kira RM32 bilion untuk pembayaran pencen penjawat awam dan jumlah berkenaan meningkat RM2 juta setiap tahun.




























