Penjaga Gol Sabah FC, Khairul Fahmi Che Mat hanya mampu melihat bola rembatan pemain KL City pada aksi Liga Super di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras, Rabu.
PETALING JAYA: Ketua jurulatih Sabah FC, Datuk Ong Kim Swee mengakui kecewa dengan prestasi yang dipamerkan oleh pemainnya selepas tewas 0-3 kepada Kuala Lumpur (KL) City FC dalam aksi liga di tempat lawan, Rabu.
Menurut Utusan Malaysia, Sabah FC menurunkan barisan pemain simpanan selepas skuad utama mereka mengalami kecederaan bagaimanapun peluang yang diberikan itu gagal dimanfaatkan dengan sebaiknya.
“Keputusan yang mengecewakan di mana kita gagal mendapatkan sebarang mata dan prestasi yang tidak seperti yang diinginkan. Terutamanya selepas ketinggalan dan kad merah, ini menyukarkan kita.
“Kita ada beberapa pemain yang mengalami kecederaan Gabriel (Peres), Park (Tae-Soo) tetapi terpaksa diturunkan namun terpaksa dikeluarkan. Ramai pemain cedera jadi kita kehilangan pemain utama.
“Apabila kita tidak mempunyai pemain utama itu menampakkan jurang antara pemain yang kerap diturunkan dan kurang beraksi dan mereka perlu ambil kesempatan ini tetapi mereka perlukan masa,” katanya kepada pemberita di sini Rabu.
Pada aksi tersebut, Sabah FC terpaksa beraksi dengan 10 pemain selepas Rawilson Batuil melakukan kekasaran dan gol pertama KL City diperoleh hasil jaringan sendiri Ko Kwang Min pada masa tambahan babak pertama.
Gol kedua tuan rumah diperolehi hasil jaringan Paulo Josue pada minit ke-61 sebelum Zhafri Yahya meledak gol ketiga dua minit sebelum tamat.
































