PETALING JAYA: Bank Negara Malaysia (BNM) membekukan sebanyak 92 akaun bank dianggarkan berjumlah RM25.4 juta serta peti deposit selamat dipercayai mempunyai kaitan dengan syarikat pelaburan didakwa terlibat aktiviti penipuan.
Menurut Utusan Malaysia, BNM dalam kenyataan berkata, satu tindakan penguatkuasaan bersama telah diambil terhadap syarikat pelaburan terbabit serta beberapa entiti yang lain kerana disyaki melakukan pelbagai kesalahan jenayah kewangan.
Kata BNM, sebanyak 12 premis di sekitar Lembah Klang telah diserbu dalam operasi tersebut.
“Kesemua dokumen berkaitan serta aset termasuk emas, wang tunai berjumlah kira-kira RM4.85 juta telah dirampas. Kita turut merampas sejumlah mata wang asing, mata wang kripto dan kereta serta barangan mewah.
“Selain itu, 92 akaun bank berjumlah RM25.4 juta dan peti deposit selamat turut dibekukan bagi membantu siasatan,” katanya, hari ini.
Menurut BNM, entiti tersebut sebelum ini telah disenaraikan dalam Senarai Amaran Pengguna Kewangan BNM pada 14 Jun tahun lalu.
Katanya, antara kesalahan dilakukan di bawah Seksyen 137(1) Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 (Financial Services Act 2013, FSA); Seksyen 112 dan 113 Akta Cukai Pendapatan 1967; Seksyen 27B Akta Jualan Langsung dan Skim Anti-Piramid 1993 dan Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLA).
“Operasi serbuan ini merupakan sebahagian daripada usaha bersama antara agensi yang berterusan untuk membanteras jenayah kewangan di Malaysia.
“Tindakan penguatkuasaan bersama ini dijalankan oleh BNM, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) dan Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDN) serta dibantu oleh CyberSecurity Malaysia (CSM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) di bawah penyelarasan Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional (NFCC),” katanya.
Menurutnya, di bawah bidang kuasa BNM, sabitan bagi kesalahan di bawah Seksyen 137(1) FSA kerana menerima deposit tanpa lesen membawa hukuman penjara selama tempoh tidak melebihi 10 tahun, denda tidak melebihi RM50 juta atau kedua-duanya sekali.
Manakala sabitan di bawah Seksyen 4(1) AMLA membawa hukuman penjara hingga 15 tahun bersama-sama denda sekurang-kurangnya lima kali nilai hasil aktiviti haram atau RM5 juta, mana-mana yang lebih tinggi.
“Orang ramai digesa untuk terus berwaspada dengan hanya meletakkan deposit atau melabur dengan entiti yang dilesenkan atau berdaftar dengan pihak berkuasa yang berkaitan.
“Penglibatan dalam mana-mana syarikat yang tidak berlesen atau tidak berdaftar boleh menyebabkan seseorang dianggap sebagai bersubahat dengan kesalahan yang dilakukan,” tegasnya.
Terdahulu, media melaporkan sebuah syarikat dipercayai menjalankan aktiviti penipuan pelaburan diserbu oleh pihak berkuasa selain pelbagai kenderaan mewah turut dirampas.
Sumber dilaporkan berkata, operasi terbabit dijalankan hasil siasatan susulan laporan yang diterima pihak terbabit berhubung aktiviti penipuan pelaburan membabitkan kerugian jutaan ringgit.
“Pasukan telah menyerbu pejabat dan kediaman pemilik di kawasan Subang dengan beberapa kenderaan mewah termasuk Lamborghini serta BMW dirampas,” katanya.


































