Hapizah Nawawi dan Lee Lai Soon dihadapkan ke Mahkamah Sesyen atas pertuduhan berkaitan tuntutan palsu, di Shah Alam, Selangor, hari ini.
SHAH ALAM: Dua profesor institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dihadapkan ke Mahkamah Sesyen, hari ini atas keseluruhan 58 pertuduhan berkaitan tuntutan palsu yang dibuat antara 2019 hingga 2022.
Menurut Utusan Malaysia, tertuduh, Prof. Datin Dr. Hapizah Nawawi dan Profesor Dr. Lee Lai Soon masing-masing dalam prosiding berasingan mengaku tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Datuk Anita Harun.
Pada prosiding pertama, Hapizah Nawawi yang kini berkhidmat secara kontrak dihadapkan dengan 18 pertuduhan bersubahat dengan Amirah Mohd. Ariff, 28, untuk memperdaya empat pegawai Bendahari Universiti Teknologi Mara (UiTM) menggunakan dokumen tuntutan yang mengandungi tuntutan palsu bagi bayaran gaji pembantu penyelidik.
Kerja penyelidikan tersebut bertajuk Mechanism of Drone-Assisted Technology on Efficiency of Mass Disaster Victim Identification (DVI) sebanyak RM38,000 secara berperingkat bermula pada April 2021 hingga Oktober 2022.
Bagaimanapun kerja-kerja tersebut didakwa tidak dilakukan. Kesalahan tersebut dilakukannya dekat pejabat Institut Patologi, Perubatan Makmal dan Forensik, UiTM Kampus Sungai Buloh.
Sementara, Lai Soon, pula berdepan 20 pertuduhan apabila dengan curangnya menggunakan set dokumen sebagai tulen mengandungi butir matan palsu untuk memperdaya lapan pegawai Bahagian Kewangan Universiti Putra Malaysia (UPM) bagi tuntutan bayaran upahan enumerator berjumlah secara berperingkat berjumlah RM45,000.
Kesalahan tersebut dilakukannya pada Oktober 2019 hingga Jun 2022 dekat pejabat Institut Penyelidikan Matematik (INSPEM) universiti tersebut di Serdang.
Justeru, kedua-dua pensyarah berusia 64 dan 49 tahun itu masing-masing dituduh di bawah Seksyen 28(1)(c) dan Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.
Sabit kesalahan, mereka boleh dipenjara sehingga 20 tahun dan denda lima kali ganda jumlah atau nilai butir matan palsu atau RM10,000 mengikut mana yang lebih tinggi.
Selain itu, Lai Soon turut berdepan 20 pertuduhan pilihan di bawah Seksyen 471 Kanun Keseksaan kerana menggunakan set dokumen sebagai tulen apabila beliau mempunyai sebab untuk mempercayai dokumen tersebut sebagai palsu.
Bagi pertuduhan tersebut, jika sabit kesalahan beliau boleh dipenjara sehingga dua tahun, denda atau kedua-duanya sekali.
Timbalan Pendakwa Raya, Muiz Ahmad Khairuddin dan Anis Najwa Nazari menawarkan jaminan antara RM20,000 hingga RM30,000 dengan seorang penjamin kepada kedua-dua tertuduh serta syarat tambahan iaitu serah pasport antarabangsa kepada mahkamah, lapor diri di pejabat SPRM berdekatan dan larangan mengganggu saksi pendakwaan sepanjang perbicaraan.
Bagaimanapun, peguam mewakili Hapizah, Shamsul Sulaiman memohon pasport anak guamnya tidak diserahkan kepada mahkamah kerana perlu menghadiri persidangan dan penyelidikan di luar negara.
“Anak guam perlu menghadiri persidangan pada 24 hingga 28 Ogos dan 4 hingga 10 September di India selain Bandung, Indonesia pada 4 hingga 10 Oktober. Adalah lebih praktikal menaikkan jumlah jaminan berbanding mengemukakan surat permohonan mendapatkan pasport pada setiap kali perlu ke luar negara,” katanya.
Sementara peguam mewakili Lai Soon, Chen Woon Yong memohon jumlah jaminan yang rendah atas alasan anak guamnya merupakan seorang yang komited terhadap komuniti akademik dan berkhidmat dengan UPM sejak 2006.
“Tertuduh juga tidak mempunyai rekod jenayah lampau menunjukkan integriti terhadap perkhidmatannya. Selain itu, beliau juga bersedia mematuhi semua syarat tambahan dikenakan,” jelasnya.
Hakim Anita kemudian menetapkan Hapizah dan Lai Soon masing-masing diikat jamin sebanyak RM30,000 dan RM20,000 dengan seorang penjamin serta mematuhi syarat tambahan termasuk larangan mengganggu saksi pendakwaan dan melapor diri di pejabat SPRM antara 1 hingga 7 hari bulan setiap bulan.
Dalam masa sama, hakim turut membenarkan Hapizah tidak menyerahkan pasport antarabangsanya bagi membolehkan beliau menghadiri persidangan dan penyelidikan di luar negara.
Pengurusan kes dan serahan dokumen bagi kedua-dua prosiding ditetapkan pada 23 September ini.


































