PAPAR: Majlis Belia KDCA telah menganjurkan gotong royong membersihkan tempat pembuangan sampah tepi jalan Pan Borneo Highway di Kampung Mook, di sini, Ahad lalu yang semakin dipenuhi sampah-sarap.
Aktiviti itu turut disertai rakan strategik MRK Negeri Sabah, unduk Ngadau CSR, Indigenous Lotud Sabah Society, Bulan Sabit Merah Tuaran, komuniti kampung berdekatan serta Majlis Daerah Papar dan pemimpin kawasan, Ketua Kampung, JKKK dan RELA.
Ia bertujuan untuk memberikan kesedaran menjaga alam sekitar.
Pengerusi Majlis Belia KDCA, Steve Johnny Mositun berharap, inisiatif tersebut dapat menyedarkan semua untuk tidak membuang sampah merata rata tidak kira di mana sahaja lokasi.
“Sabah dikenali dengan tempat menarik dan cantik, tetapi sedih apabila Pan Borneo Highway kita dicemari dengan kekotoran sampah-sarap yang memberikan imej negatif terhadap kesedaran sivik orang-orang Sabah kepada mereka yang datang daripada Sarawak dan Brunei Darussalam… sebelum ini, ramai penduduk yang telah mengadu tentang masalah ini termasuk pengguna jalan raya sehingga baru-baru ini tular video mereka yang membuang sampah,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berharap aktiviti ini memberikan kesedaran tentang pentingnya menjaga alam sekitar bagi generasi akan datang,
“Buanglah sampah di tempat yang telah disediakan kerana sampah terutamanya bahan plastik mengambil masa yang lama untuk lupus. Kita berharap komuniti daerah lain juga akan bergerak untuk menjaga alam sekitar,” katanya, sambil mengucapkan terima kasih kepada semua yang hadir.
Beliau berharap lebih ramai anak muda menanam sikap gotong-royong dan juga menjaga kebersihan dari rumah sendiri sehingga ke luar rumah.
Sementara itu, beliau berkata, Majlis Belia KDCA menyokong penuh kempen “Bawa Beg bah” oleh Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) yang mana akan bermula pada 1 Ogos 2024.


































