Keadaan kemalangan membabitkan seorang anggota polis yang sedang melakukan tugas Op Samseng Jalanan di Kilometer 36 (arah selatan) Lebuhraya Kajang-Seremban (Lekas) di Seremban awal pagi kelmarin.
SEREMBAN: Seorang anggota polis yang sedang melakukan tugas Op Samseng Jalanan di Kilometer 36 (arah selatan) Lebuhraya Kajang-Seremban (Lekas), di sini cedera selepas dirempuh sebuah motosikal yang ditunggang secara melawan arus dalam kejadian awal pagi kelmarin.
Menurut Utusan Malaysia, Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohamad Hatta Che Din berkata, kemalangan kira-kira pukul 2 pagi itu, melibatkan seorang anggota polis lelaki berusia 36 tahun dan seorang remaja lelaki berusia 17 tahun.
Menurutnya, anggota terbabit yang bertugas di Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seremban sedang melakukan tugas operasi bersama beberapa anggota yang lain.
“Ketika kejadian, remaja terbabit telah bertindak menunggang motosikal tersebut secara melawan arus dan menyebabkan motosikalnya telah merempuh bahagian hadapan motosikal yang ditunggang anggota polis berkenaan.
“Akibat kemalangan, kesemua mangsa mengalami kecederaan di kaki dan kepala dan telah dibawa ke Hospital Tuanku Ja’afar Seremban (HTJs) untuk menerima rawatan,” katanya kepada pemberita di sini, kelmarin.
Menurutnya, kes disiasat di bawah Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 dan siasatan turut membabitkan Seksyen 307 Kanun Keseksaan serta Seksyen 31 Akta Kanak-kanak 2001 disebabkan penunggang di bawah usia 18 tahun.


































