Anwar Ibrahim dan menerima kunjungan Russia Sergey Lavrov di Seri Perdana, Putrajaya.- Utusan/Facebook Anwar
PETALING JAYA: Malaysia sudah menghantar surat permohonan untuk menyertai organisasi antara kerajaan iaitu BRICS (Brazil, Russia, India, China dan Afrika Selatan) baru-baru ini.
Menurut Utusan Malaysia, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, surat permohonan itu sudah dihantar kepada Russia iaitu Pengerusi BRICS, baru-baru ini.
“Hari ini menerima kunjungan hormat Menteri Luar, Russia Sergey Lavrov yang kini dalam lawatan rasmi dua hari ke Malaysia bermula Sabtu di Seri Perdana, Putrajaya.
“Perbincangan kami berputar isu penyertaan Malaysia ke dalam gabungan BRICS yang merupakan antara intipati utama perbincangan, dan Malaysia telah menghantar surat permohonan kepada Russia selaku pengerusi organisasi antara kerajaan, BRICS baru-baru ini,” katanya.
Beliau berkata demikian menerusi satu hantaran di Facebook miliknya hari ini.
BRICS ditubuhkan pada 2009 sebagai platform kerjasama untuk ekonomi yang sedang pesat membangun merangkumi Brazil, Rusia, India dan China dengan Afrika Selatan menyertai kumpulan itu pada 2010.
Pada Januari 2024 pula, negara Iran, Mesir, Ethiopia, dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) menyertai organisasi itu sebagai ahli baharu.
Turut hadir dalam pertemuan itu adalah Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Mohamad Hasan; Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir.
Mengulas berhubung kunjungan Sergey, Perdana Menteri berkata, antara yang dibincangkan adalah aspek pengukuhan kerjasama dua hala.
“Malaysia menegaskan agar hubungan sedia ada dipertingkat dan diperkukuh terutama dalam sektor pelaburan dan perdagangan, sains dan teknologi, pertanian, pertahanan dan ketenteraan, pendidikan serta pelancongan dan budaya,” katanya.
Anwar berkata, perbincangan turut memberi penekanan berkaitan isu sejagat melibatkan situasi terkini di Palestin dan Ukraine.
“Kedua-dua negara menekankan keperluan mendesak untuk gencatan senjata secara kekal, bantuan kemanusiaan segera selain negara Palestin diperaku sebagai ahli penuh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
“Berkenaan Ukraine, Malaysia menyeru agar dialog dan perbincangan menjadi jalan keluar kepada konflik ini,” katanya.






























