KOTA BHARU: Seorang penoreh getah memberi alasan tidak sengaja merogol dan melakukan amang seksual terhadap anak kandungnya berusia 14 tahun ketika dia didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini.
Menurut Utusan Malaysia, tertuduh yang berusia 44 tahun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Zulkifli Abllah.
Mengikut pertuduhan pertama, bapa kepada tiga orang anak itu dituduh merogol anak kandungnya berusia 14 tahun 11 bulan ketika kejadian.
Lelaki itu didakwa mengikut Seksyen 376(3) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman hukuman penjara sehingga 30 tahun dan maksimum 10 sebatan jika sabit kesalahan.
Pertuduhan kedua pula, tertuduh didakwa melakukan amang seksual bukan fizikal terhadap mangsa sama.
Lelaki itu didakwa mengikut Seksyen 15(C) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 (Akta 792) dan boleh dihukum mengikut Seksyen 15 akta sama yang boleh dipenjara sehingga 10 tahun atau denda tidak melebihi RM20,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Kedua-dua perbuatan itu dilakukan di sebuah rumah di Kuala Krai dekat sini pada pukul 5 pagi pada 21 Julai lalu.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Faiz Fitri Mohamad manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Terdahulu, tertuduh memohon jaminan dengan alasan dia tidak sengaja merogol dan melakukan perbuatan amang seksual bukan fizikal terhadap anaknya.
Ahmad Faiz Fitri bagaimanapun meminta agar tiada ikat jamin ditawarkan memandangkan kes itu serius dan mangsa merupakan anak kandungnya.
Mahkamah tidak membenarkan jaminan kepada tertuduh selain menetapkan 28 Ogos depan untuk sebutan semula kes.


































