Datuk Bandar Paris, Anne Hidalgo berenang di Sungai Seine pada 17 Julai lalu untuk membuktikan bahawa sungai itu bersih bagi penganjuran sukan renang di Sukan Olimpik 2024
PARIS: Sesi latihan pertama bagi acara triathlon Sukan Olimpik Paris tidak dapat diadakan ekoran pencemaran terhadap Sungai Seine, kata pengajur.
Menurut Utusan Malaysia, selepas mesyuarat mengenai kualiti air dan ujian diadakan, penganjur dan Triathlon Dunia membuat keputusan bersama untuk membatalkan orentasi renang dalam acara triathlon.
Sungai Seine diisytiharkan bersih untuk berenang hasil ujian yang dilakukan pada pertengahan bulan ini namun keraguan timbul terhadap kesesuaian air sungai itu untuk pertandingan.
“Paris 2024 dan Triathlon Dunia mengulangi bahawa keutamaan adalah kesihatan atlet. Analisis yang dibuat semalam di Seine mendapati tahap kualiti air yang…tidak memberi jaminan ia selamat untuk acara itu diadakan,” kata penganjur dan Triathlon Dunia dalam satu kenyataan.
Penganjur menyalahkan hujan beberapa hari ini dan berkata mereka yakin kualiti air bertambah baik sebelum pertandingan triathlon yang dijadual diadakan pada 30 Julai ini.
Pada 17 Julai lalu, Datuk Bandar Paris, Anne Hidalgo berenang di Sungai Seine bersama ketua penganjur Paris 2024, Tony Estanguet sebagai bukti sungai tersebut selamat.

































