KUALA LUMPUR: Taktik sindiket tipu pakej pelancongan yang menawarkan RM50,000 untuk 50 hari percutian terbongkar selepas 15 individu ditahan dalam serbuan di premis pejabat di sini pada 1 Julai lalu.
Mereka yang ditahan terdiri daripada 12 lelaki dan 3 wanita warga India.
Menurut Utusan Malaysia, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, sebanyak 17 telefon bimbit dan pelbagai barang lain termasuk 10 baucer pakej pelancongan, cop syarikat, komputer riba dirampas.
Kata beliau, siasatan polis mendapati sindiket berkenaan disyaki beroperasi sejak awal tahun ini menggunakan nama sebuah syarikat.
“Syarikat tersebut mempromosikan pakej pelancongan dan melakukan promosi melalui edaran risalah kepada warga asing,” katanya dalam sidang akhbar di Menara KPJ di sini hari ini.
Mengulas lanjut, mangsa yang berminat perlu hadir ke syarikat terbabit untuk penerangan.
Jelas beliau, tiga pakej iaitu pakej ditawarkan iaitu bernilai RM50,000 untuk 50 hari percutian, pakej RM25,000 untuk 40 hari percutian dan pakej RM14,000 untuk 14 hari percutian.
“Pelanggan yang berminat dibenarkan membuat pilihan percutian ke mana-mana negara di seluruh dunia.
“Semakan yang dilakukan dengan pihak Kementerian Pelancongan, Seni dan
Budaya (MOTAC) mendapati syarikat tersebut tidak mempunyai lesen untuk beroperasi sebagai syarikat pelancongan”,jelasnya.
Tambah beliau, sebanyak dua laporan polis dibuat oleh mangsa yang tertipu dengan syarikat ini melibatkan nilai kerugian keseluruhan RM14,000 setakat ini.
“Kesemua individu yang ditangkap sedang direman sehingga 20 Julai di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan kes sedang disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan,”ujarnya.
Dalam kes berlainan, JSJK telah menyerbu sebuah premis kediaman di Cheras, Kuala Lumpur dan berjaya menahan tujuh warga tempatan termasuk tiga wanita membabitkan ahli sindiket along pada pada 2 Julai lalu.
Kata Ramli, sindiket ini dipercayai beroperasi sejak tiga bulan lalu dan menyasarkan peminjam dalam kalangan warga tempatan.
“Sindiket ini mengiklankan pinjaman melalui Facebook dan peminjam yang berminat kemudiannya akan dihubungi melalui WhatsApp dengan tawaran pinjaman RM500 hingga RM10,000 serta faedah antara 10 hingga 15 peratus secara mingguan atau bulanan.
“Kesemua suspek berusia lingkungan 23 hingga 30 tahun disiasat di bawah Seksyen 5(2) Akta Pemberi Pinjaman Wang 1951,” katanya.


































