Dua tertuduh di bawa masuk ke Kompleks Mahkamah Kangar, Perlis, hari ini bagi menghadapi pendakwaan atas kesalahan eksploitasi seks melibatkan dua remaja bawah umur pada 2 Julai lalu.
KANGAR: Seorang wanita bersama seorang remaja bawah umur didakwa di Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini, atas dua pertuduhan menjadi dalang dalam kegiatan eksploitasi seks melibatkan dua remaja bawah umur pada 2 Julai lalu.
Menurut Utusan Malaysia, kedua tertuduh, Shakila Latif, 25, dan seorang remaja berusia 17 tahun bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan memohon untuk dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Sesyen Musyiri Peet.
Mengikut pertuduhan pertama, Shakila dan remaja berkenaan didakwa dengan niat bersama telah memperdagangkan mangsa berusia 16 tahun bagi maksud eksploitasi seks.
Bagi pertuduhan kedua pula, dua tertuduh tersebut didakwa dengan niat bersama telah memperdagangkan mangsa berusia 14 tahun bagi maksud eksploitasi seks.
Kedua-dua tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di dua bilik hotel di Persiaran Jubli Emas, di sini, antara pukul 6.20 petang hingga 6.25 petang pada 2 Julai lalu.
Susulan itu, kedua tertuduh berkenaan didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 14 Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 (ATIPSOM).
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Alia Suzila Chek Pi manakala kedua tertuduh tidak diwakili peguam.
Sewaktu prosiding, pihak pendakwaan memohon agar mahkamah tidak membenarkan sebarang jaminan ke atas kedua tertuduh terlibat.
Susulan itu, Shakila yang tidak diwakili peguam bagaimanapun memohon mahkamah memberikan kadar jaminan yang rendah memandangkan dia mempunyai tanggungan dua orang anak.
Manakala waris tertuduh remaja bawah umur pula merayu mahkamah menetapkan kadar jaminan minima memandangkan perlu membantu ibu bapanya yang mempunyai pendapatan tidak menentu.
Mahkamah kemudiannya menetapkan kedua tertuduh berkenaan masing-masing dikenakan jaminan sebanyak RM25,000 bagi dua pertuduhan tersebut.
Selain itu, tertuduh juga perlu melaporkan diri di balai polis berhampiran pada setiap bulan di samping tidak boleh mendekati dan menganggu mangsa.
Sebutan semula bagi kedua pertuduhan itu ditetapkan pada 22 Ogos depan.


































