KUALA LUMPUR: Usaha terbaharu Filipina yang terus menuntut Sabah sejak 1962 menerusi pemfailan kepada Pertubuhan Bangsa-Bangsa (PBB) kali ini dianggap sebagai satu tuntutan yang tidak sah.
Menurut Utusan Malaysia, Penyelidik di Unit Kajian Geopolitik dan Elektoral Sabah (GeoPes), Universiti Malaysia Sabah (UMS), Dr. Ramli Dollah berkata, Sabah merupakan satu daripada entiti yang membentuk Malaysia dan perkara itu tidak dapat dinafikan.
“Malangnya Filipina masih menganggap Sabah sebahagian daripada negara tersebut, walhal Kesultanan Sulu yang wujud sebenarnya sudah tiada. Ini sekali gus menjadikan tuntutan ini tidak sah.
“Keadaan ini ditambah lagi dengan beberapa isu terutamanya penerimaan penduduk Sabah melalui Suruhanjaya Cobbold 1962 untuk menyertai Malaysia.
“Selain itu, kejayaan Malaysia mengurus wilayahnya dengan baik menyebabkan tidak ada alasan untuk Filipina atau sesiapa sahaja yang mendakwa waris Sultan Sulu untuk menuntut wilayah ini,” katanya kepada Utusan Malaysia, semalam.
Semalam, akhbar ini melaporkan, isu tuntutan Filipina terhadap Sabah yang kembali dibangkitkan seharusnya menjadi agenda utama negara pada sidang Kemuncak ASEAN tahun depan.
Baru-baru ini, kerajaan menyerahkan nota diplomatik kepada Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres sebagai menyatakan negara ini sebuah negara berdaulat yang turut merangkumi Sabah dan Sarawak.
Malaysia menyerahkan nota diplomatik tersebut bagi menyatakan bantahan sekali gus menolak tuntutan Filipina ke atas Sabah.
Dalam nota diplomatik itu, kerajaan menyatakan secara jelas, menolak pemfailan itu atas alasan pemanjangan sempadan pelantar benua yang dikemukakan Filipina dilakukan berdasarkan garis dasar Sabah.
Mengulas lanjut, Ramli berkata, tindakan menyerahkan nota bantahan diplomatik itu merupakan langkah yang tepat, malah ia perlu kerap dilakukan dalam semua isu yang melibatkan kepentingan dan kedaulatan negara.
“Nota bantahan seperti ini menjadi dokumen rasmi dalam undang-undang antarabangsa dan bukti keseriusan negara mempertahankan kedaulatan negara.
“Oleh itu, bantahan diplomatik ini tidak sepatutnya terhad kepada isu tuntutan Filipina, tetapi juga melibatkan isu-isu lain di Malaysia melibatkan tuntutan di Laut China Selatan, Laut Sulawesi dan sebagainya,” katanya.
Dalam pada itu, Geostrategis, Dr. Azmi Hassan berkata, tuntutan itu kembali berbangkit apabila Manila menerusi notis kepada PBB berkaitan garis sempadan pelantar benua menambah 100 lagi batu nautika daripada sempadan zon ekonomi eksklusif (ZEE) sedia ada ketika ini.
Atas sebab itu, katanya, bantahan Malaysia berikutan mereka menggunakan Sabah sebagai garis dasar untuk menentukan sempadan pelantar benua yang secara tidak langsung menyatakan Sabah itu milik Filipina.
“Isunya adalah garisan EEZ. Mereka tidak menggunakan Sabah sebagai garis dasar mereka iaitu baseline mereka, tetapi dalam hal pelantar benua ini, mereka menggunakan Sabah.
“Jadi, Malaysia bantah kerana garis dasar itu tidak menepati salah satu peruntukan dalam United Nations Convention on the Law of the Sea (UNCLOS) yang memberi peruntukan undang-undang apa yang boleh dilakukan dalam sempadan pelantar benua, sempadan EEZ dan sempadan 12 batu nautika hak wilayah berdaulat sesebuah negara,” katanya.


































