Muhammad Luth Syauqi Nur Sufyan
KULIM: Seorang lagi mangsa yang termakan keropok mengandungi racun tikus dilaporkan meninggal dunia di Hospital Pulau Pinang (HPP), pada pukul 1.20 petang ini.
Menurut Utusan Malaysia, Muhammad Luth Syauqi Nur Sufyan, 2, sebelum ini kritikal sejak dimasukkan ke hospital itu pada Ahad lalu.
Ketua Polis Daerah Kulim, Superintenden Mohd. Azizul Mohd. Khairi mengesahkan perkara itu.
Kelmarin, abangnya, Muhammad Akil Syauqi, 3, menghembuskan nafas terakhir kira-kira pukul 8.30 pagi setelah terpaksa bergantung kepada mesin bantuan pernafasan.
Dalam kejadian itu, Muhammad Akil Syauqi dan Muhammad Luth Syauqi disedari ibu mereka dalam keadaan mulut berbuih dan muntah di atas katil rumah di Kampung Padang Ubi, Labu Besar di sini selepas termakan keropok bercampur racun tikus.
Racun jenis serbuk itu dipercayai digunakan oleh penduduk untuk memerangkap haiwan liar terutama monyet yang didakwa merosakkan tanaman mereka dan mengganggu ketenteraman penduduk.
Semalam, seorang lelaki yang disyaki terlibat dalam kes keracunan dua beradik yang termakan keropok dicampur racun tikus itu direman selama enam hari.
Perintah reman ke atas suspek berusia 33 tahun yang juga seorang pekebun itu dibenarkan oleh Hakim Mahkamah Sesyen Kulim, Mirza Mohamad.
Siasatan ke atas suspek dilakukan di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta 611 berkaitan pengabaian terhadap kanak-kanak dan Seksyen 284 Kanun Keseksaan kerana kelakuan cuai berkenaan dengan benda beracun.


































