Gambar Hiasan
PETALING JAYA: Tindakan tiga lelaki warga Filipina menggunakan Mykad palsu terbongkar dalam serbuan Ops Pengawal Keselamatan di sebuah premis perniagaan sekitar Puchong, Selangor kelmarin.
Malah, ketiga-tiga mereka didapati bekerja sebagai pengawal keselamatan menggunakan Mykad tersebut.
Menurut Utusan Malaysia, Bahagian Penguat kuasa Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) berkata, siasatan awal mendapati suspek memperoleh MyKad palsu itu daripada ejen pada harga RM250.
“Tiga pengawal keselamatan ditahan selepas disyaki menggunakan salinan Mykad palsu sebagai identiti mereka di Puchong, Selangor.
“Kesemua mereka yang ditahan berumur antara 27 tahun hingga 55 tahun dan merupakan warga Filipina,” katanya.
Menurutnya, operasi itu dijalankan susulan pemantauan dan risikan selama dua minggu di lokasi itu.
Jelasnya, ketiga-tiga suspek terbabit tidak mempunyai sebarang hubungan antara satu sama lain.
“Mereka ditahan mengikut Peraturan 25(1)(e) Peraturan-peraturan Pendaftaran Negara 1990.
“Salah seorang suspek akan didakwa di mahkamah, yang mana jika disabitkan kesalahan, boleh dipenjara tidak melebihi tiga tahun atau denda tidak melebihi RM20,000 atau kedua-duanya sekali.
“Dua lagi suspek akan diserahkan kepada pihak Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) untuk tindakan lanjut kerana tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan,” katanya.


































