Flovia bersama Timbalan Ketua Menteri II merangkap Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Seri Dr. Joachim Gunsalam pada persidangan DUN di sini.
KOTA KINABALU: Beberapa pendekatan penguatkuasaan bagi mencegah penyelewengan diesel bersubsidi dan mengelak kenaikan harga barangan keperluan yang tidak munasabah dijalankan oleh Kerajaan melalui Kementerian Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat (KPMKR).
Pembantu Menteri KPMKR, Datuk Flovia Ng berkata, Kementerian ini melalui Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Sabah konsisten melaksanakan pendekatan penguatkuasaan bagi tujuan itu.
“Antara pendekatan yang diambil adalah seperti Ops Tiris 3.0, iaitu pengawasan ketat terhadap stesen minyak dan pengedar oleh Pegawai penguatkuasa KPDN yang akan menjalankan pemeriksaan berkala dan ad-hoc.
“Selain itu, kita juga adakan Ops Kesan 2024, iaitu pemeriksaan secara pro-aktif ke atas rantaian pengedaran barangan merangkumi peringkat pengeluar, peladang, penternak, pemasaran am, pengedar, pemborong dan peruncit di seluruh negeri dan daerah,” katanya.
Beliau memberitahu bahawa pihaknya turut mengadakan Ops Catut 2024, iaitu pemeriksaan bagi memastikan peniaga mematuhi Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP) 2011.
Tambahnya, pemeriksaan berkenaan merangkumi arahan semasa pemeriksaan back to school, bahan bakeri dan makanan sedia bungkus.
Flovia berkata demikian pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN), di sini, Rabu. Beliau menjawab pertanyaan Datuk Annuar Ayub (Liawan) yang bertanya apakah tindakan atau mekanisma yang akan diambil oleh Kerajaan dalam memastikan tiada kenaikan harga barang di negeri ini ekoran penarikan subsidi bahan api diesel di Semenanjung terutama melibatkan kos logistik dan adakah mekanisma berkenaan subsidi bersasar untuk Sabah dan bilakah ianya akan bermula.
Flovia berkata, KPDN juga bekerjasama dengan agensi berkaitan bagi memastikan harga bekalan barangan keperluan terkawal dan mencukupi seperti Jabatan Perkhidmatan Veterinar, Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) dan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA).
Beliau turut menjelaskan bahawa tidak berlaku penarikan subsidi bahan api diesel di Semenanjung Malaysia, sebaliknya subsidi diesel yang sebelum ini dinikmati secara pukal telah disasarkan semula kepada golongan yang layak.


































