Isnin (kanan) bergambar kenangan bersama dengan Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Seri Dr. Joachim Gunsalam (tengah) dan Pembantu Menteri II KKTP yang juga ADUN Sibuga, Datuk Mohd. Hamsan Awang Supain.
KOTA KINABALU: Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan (KKTP) melalui agensi pelaksananya Lembaga Pembangunan Perumahan dan Bandar (LPPB) mempunyai cadangan untuk membina rumah kos rendah dibeli untuk golongan B40 dan golongan berpendapatan rendah di Sabah.
Pembantu Menteri KKTP I, Datuk Isnin Aliasnih berkata, setiap cadangan ini dirancang di dalam Rancangan Lima Tahun Malaysia dan dilaksanakan tertakluk kepada kelulusan peruntukan.
Katanya, dalam Rancangan Malaysia Ke-12, (RMK12 : 2021-2025), pihak LPPB sedang melaksanakan pembinaan di lima buah program pembinaan rumah kos rendah iaitu Fasa 3 Kemabong Tenom (50 unit rumah berkembar), Fasa 1 Sukau Kota Kinabatangan (50 unit rumah teres), Fasa 1 Melalap Tenom (50 unit rumah teres), Fasa 1 Beluran (25 unit rumah teres) dan Fasa 1 Pitas (50 unit rumah teres).
Jumlah keseluruhan rumah yang sedang/akan dibina di dalam RMK12 ini ialah sebanyak 225 unit.
“Fasa 1 Beluran akan mula dilaksanakan pada bulan September tahun 2024 ini dan Fasa 1 Pitas akan dimulakan pada tahun 2025,” katanya pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN), di sini, Rabu.
Beliau menjawab pertanyaan Datuk Amisah Yassin (ADUN Dilantik) yang bertanya adakah cadangan untuk membina rumah kos rendah sama ada untuk disewa atau dibeli untuk golongan B40 di Sabah dan jika ada di mana lokasi dan berapa buah rumah akan dibina.
Isnin berkata, rumah kos rendah yang dbina ini adalah khusus untuk golongan berpendapatan rendah dan B40 dengan harga jualan RM47,000 seunit.
“Program ini dibiayai sepenuhnya oleh Kerajaan Negeri dan akan diteruskan pelaksanaannya di dalam RMK13 yang akan datang.
“Sebagai makluman tambahan, pihak LPPB telah membina sejumlah 29,218 unit rumah kos rendah sejak dari RMK1 hingga RMK11,” katanya.






























