Pasukan bomba menyelamatkan mangsa yang terperangkap dalam kejadian kepala air di sungai berhampiran Kolam Batu Gajah, Kampung Longob, Kota Marudu, Sabah, Isnin. – Ihsan Bomba
KOTA MARUDU: Seramai 45 penduduk yang menyaksikan pertandingan memancing, berhadapan detik cemas apabila berlaku kejadian kepala air di sungai berhampiran Kolam Batu Gajah, Jalan Tandek Kampung Longob, di sini Isnin.
Dalam kejadian kira-kira pukul 4.30 petang itu, kesemua 45 mangsa berjaya diselamatkan oleh pasukan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).
Menurut Utusan Malaysia, Pusat Gerakan Operasi JBPM memaklumkan, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian kepala air kira-kira pukul 4.30 petang dan sepasukan pegawai dan anggota dikejarkan ke lokasi kejadian yang terletak pada jarak 14 kilometer dari Balai Bomba dan Penyelamat Kota Marudu.
Sebaik sahaja tiba di lokasi kejadian, didapati 45 mangsa yang terdiri daripada 38 orang dewasa dan tujuh kanak-kanak terperangkap di seberang sungai akibat kejadian kepala air yang mengakibatkan jambatan di sungai tersebut dihanyutkan arus deras.
“Sebelum kejadian, semua mangsa sedang menjalankan aktiviti pertandingan memancing di kolam berhampiran.
“Pasukan bomba menyelamatkan semua mangsa menggunakan tali dan tangga. Kesemua mangsa berjaya diselamatkan dan tiada kecederaan dilaporkan,” katanya dalam satu kenyataan.
Operasi menyelamat ditamatkan pada pukul 6.47 petang.


































