Pendaki wanita yang cedera selepas tergelincir dan terjatuh ketika menuruni Puncak Gunung Korbu dekat Empangan Sultan Azlan Shah, Ulu Kinta, Ipoh, kelmarin.
IPOH: Seorang pendaki wanita cedera selepas tergelincir dan terjatuh ketika menuruni Puncak Gunung Korbu di sini kelmarin.
Dalam kejadian sekitar pukul 3.29 petang itu, mangsa berusia 35 tahun yang menyertai 35 pendaki lain terpaksa mendapatkan bantuan anggota bomba berikutan kecederaan yang dialami.
Menurut Utusan Malaysia, Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, operasi mencari dan menyelamat (SAR) diketuai Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tambun, Mohd. Jamalludin Mat Yusop bersama 12 anggota dan Malim Gunung Perhutanan Negeri Perak.
Katanya, berdasarkan maklumat, mangsa dengan berat 90 kilogram (kg) itu terjatuh ke dalam gaung dengan anggaran kedalaman 10 meter.
“Mangsa dikatakan terjatuh semasa melintas dengan memeluk balak yang tumbang di tebing sungai.
“Seorang doktor daripada kumpulan lain yang turut menyertai aktiviti pendakian mengesahkan mangsa tidak mengalami kecederaan patah namun kecederaan dalaman masih tidak dapat disahkan.
“Mangsa pada awalnya mengadu sesak nafas bagaimanapun keadaannya dilaporkan beransur normal,” katanya di sini kelmarin.
Menurut beliau, jarak lokasi kejadian dengan tapak mula pendakian dianggarkan sejauh tiga kilometer dengan laluan trek mendaki dan curam selain mengambil masa hingga enam jam perjalanan.
Katanya, pasukan bomba dengan kelengkapan menyelamat dibantu beberapa orang malim gunung telah tiba ke lokasi kejadian untuk membuat kerja-kerja menyelamat.
“Jarak masa pendakian ke lokasi mangsa dianggarkan enam jam dan anggaran tempoh masa yang lebih lama diperlukan bagi membawa turun mangsa menggunakan teknik usungan.
“Dari lokasi mangsa terjatuh, pasukan penyelamat perlu menyeberangi tiga sungai dengan kelebaran 10 meter dan kedalaman pada paras betis,” ujar beliau.


































