PETALING JAYA: Kerugian akibat penipuan dalam talian mencecah RM1.91 bilion dalam tempoh 18 bulan.
Ia membabitkan 50,084 kes iaitu 34,495 kes pada 2023 manakala 15,589 kes lagi untuk tempoh enam bulan tahun ini.
Menurut Utusan Malaysia, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, jenayah telekomunikasi mencatatkan jumlah kes paling banyak bagi tempoh kedua-dua tahun iaitu 16,777 kes.
Ia melibatkan 10,346 kes pada 2023 dan 6,428 kes sejak Januari hingga Jun lalu.
Katanya, dalam tempoh terbabit, sebanyak RM550 juta kerugian dicatatkan untuk kes terbabit.
“Jenayah e-dagang merekodkan sebanyak 15,099 kes dengan kerugian kira-kira RM236.45 juta.
“Dalam tempoh tersebut, nilai kerugian paling tinggi direkodkan berkaitan pelaburan tidak wujud iaitu RM817.17 juta membabitkan 8,085 kes,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia, semalam.
Tambah Ramli, sebanyak 6,049 kes pinjaman tidak wujud direkodkan dengan kerugian RM60 juta diikuti 1,284 kes jenayah kewangan (RM135 juta).
Mengulas lanjut, beliau berkata, walaupun jumlah kes pelaburan tidak wujud dilihat tidak begitu banyak namun nilai kerugian dialami mangsa agak membimbangkan.
Jelasnya, pelaburan tidak wujud muncul bagai cendawan tumbuh selepas hujan kerana masih ramai lagi mangsa terpedaya dengan modus operandi ditawarkan sindiket.
“Mangsa ditawarkan keuntungan berlipat kali ganda yang dilihat tidak masuk akal sehingga mereka gelap mata.
“Mungkin ada yang mendapat keuntungan sekali dua namun pada akhirnya sindiket lesap dan tidak dapat dihubungi selain wang dilabur hangus,” katanya.
Justeru, beliau mengingatkan masyarakat supaya berhari-hati dan tidak mudah terpedaya dengan skim pelaburan khususnya yang menjanjikan pulangan tinggi terutama ditawarkan melalui media sosial.


































