Keropok mengandungi racun tikus yang dimakan dua beradik dalam kejadian di Kampung Padang Ubi, Labu Besar di Kulim.
KULIM: Dua beradik lelaki berusia dua dan tiga tahun kritikal selepas dipercayai termakan keropok yang mengandungi racun tikus di Kampung Padang Ubi, Labu Besar di sini, semalam.
Kejadian disedari ibu mangsa kira-kira pukul 11 pagi yang mendapati kedua-dua anaknya muntah serta mulut mereka berbuih ketika dua beradik itu pulang ke rumah.
Menurut Utusan Malaysia, Ketua Polis Daerah Kulim, Superintenden Mohd. Azizul Mohd. Khairi berkata, keropok mengandungi racun tikus itu digantungkan oleh penduduk pada dawai besi sekeliling pagar kebun bertujuan untuk memerangkap monyet.
“Kedua-dua mangsa dipercayai telah membuka dan makan keropok tersebut. Kira-kira pukul 11.30 pagi, ibu mangsa berusia 25 tahun membawa anak-anaknya ke Klinik Kesihatan Malau sebelum ke Hospital Kulim untuk rawatan.
“Pemeriksaan pegawai perubatan Hospital Kulim mendapati kedua-dua mangsa dalam keadaan kritikal dan pada pukul 7.30 malam hari sama, kedua-dua mangsa dibawa ke Hospital Besar Pulau Pinang untuk rawatan lanjut,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Mohd. Azizul berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 kerana pengabaian dan Sekayen 284 Kanun Keseksaan kerana kelakuan cuai berkenaan dengan benda beracun.


































