Anwar Ibrahim menerima selempang pada perasmian penubuhan Pertubuhan Lima Generasi (PLG) Malaysia di Ipoh kelmarin.
IPOH: Datuk Seri Anwar Ibrahim menyeru masyarakat mendalami pengertian hijrah Rasullah SAW dengan bangun daripada kelekaan dan kecuaian untuk mengangkat martabat diri dan negara supaya membangun dengan maju.
Menurut Utusan Malaysia, Perdana Menteri berkata, hijrah Rasullah SAW dari Mekah ke Madinah berlaku dengan keyakinan, persiapan dan daya juang.
Menurut beliau, rakyat terutama golongan belia perlu mempunyai semangat yang sama demi untuk menyelamatkan bangsa.
“Hijrah itu ertinya meninggalkan amalan lapuk dan syirik, amalan kezaliman, penindasan, fitnah yang berlaku berleluasa, maka baru kita berubah.
“Perubahan bermula daripada kita, kalau kita yakin apa yang kita lakukan, maka bersihkan diri daripada segala perkara yang merosakkan, barulah kita boleh angkat martabat umat dan negara.
“Kalau benar mahu maju, mahu mengangkat martabat perjuangan kita, pertamanya bangun daripada kemalasan dan ‘tidur’ kita.
“Kalau mahu buat perubahan, kita mesti jelas tentang apa yang kita inginkan, kalau jelas barulah kita boleh maju,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada perasmian penubuhan Pertubuhan Lima Generasi (PLG) Malaysia di sini kelmarin.
Anwar berkata, rakyat tidak lagi boleh leka kerana negara perlu bersaing terutama dalam menarik pelaburan asing.
Menurut beliau, tiada gunanya terus bergaduh dan memfitnah sebaliknya rakyat harus mengangkat martabat negara.
“Kita harus bersaing, kita harus punya ilmu, kita mesti tingkatkan erti keadilan supaya Malaysia menjadi negara hebat.
“Kita perlukan pelaburan, kita perlu AI (Kecerdasan Buatan), syaratnya mesti ada pimpinan daripada yang muda, pimpinan politik dan tolak kezaliman dan hentikan guna kuasa untuk memperkayakan diri dan kerabat serta amalan sakau menyakau.
“Saya kebetulan generasi lama, tetapi dalam soal mempertahankan hak, kedaulatan, saya tidak peduli, lawan tetap lawan!” katanya.


































