PETALING JAYA : Siasatan masih diteruskan berhubung kehilangan wang tunai RM360,966 yang dilarikan empat warga asing di Jalan Sulaiman 1, Ampang pada minggu lalu.
Menurut Utusan Malaysia, Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, setakat ini, siasatan dilakukan bagi mengesan wang yang dilarikan kesemua suspek.
Ketika ditanya sama ada wang itu ada yang sudah dipindahkan ke negara asal mereka, Hussein berkata, perkara itu juga masih dalam siasatan polis.
“Kita sedang menyiasat dan mengesan baki wang yang belum ditemui itu,” katanya di sini hari ini.
Media sebelum ini melaporkan empat warga asing ditahan selepas melarikan wang tunai RM360,966 milik lelaki tempatan dalam urusan jual beli emas.
Hasil penahanan itu, polis merampas wang tunai RM28,300, dua kereta, telefon bimbit (enam), laptop (satu), pakaian, kasut, kad bank (enam), dan kunci rumah.
Kejadian berlaku pada pukul 4.20 petang, 24 Jun lalu selepas mangsa berusia 45 tahun dibawa menaiki kereta untuk ke pejabat suspek bagi bertemu seorang lelaki didakwa berminat menjual jongkong emas.
































